Bahasa

Kebakaran rumah jejas sambutan Aidilfitri

SANDAKAN, 25 Ogos — Kemeriahan selepas seminggu berhari raya bertukar menjadi hiba bagi keluarga Nahuri Tahang apabila rumah mereka di Kampung Tinosa dekat sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Bagaimanapun ibu ini tetap bersyukur kerana dia, anak perempuannya serta anak saudara perempuannya terselamat dalam kebakaran 4 pagi itu.

Menurutnya, dia sudah bangun untuk menunaikan solat subuh dan tidak lama kemudian terdengar bunyi letupan dari dapurnya.

Nahuri berkata dia lalu bergegas ke dapur dan mendapati asap tebal sudah memenuhi ruang dapur.

Dia lalu membawa anaknya yang berusia 15 tahun dan anak saudaranya yang juga berusia 15 tahun keluar dari rumah.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menyelamatkan diri saya, anak dan anak saudara saya. Saya bersyukur kami semua selamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Rosemidian Majid berkata seramai 12 anggota bersama dua jentera dan dua kenderaan pelbagai guna dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 5.18 pagi.

Katanya api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 7.47 pagi, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. — Bernama 

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments