Bahasa

Kebangkitan global punca Syiah tersebar di Malaysia - Bernama

July 30, 2013

Penyebaran ajaran Syiah di negara ini banyak dipengaruhi arus kebangkitan Syiah di peringkat global dan perkembangan teknologi maklumat, kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menafikan penyebaran itu berpunca daripada fatwa kebangsaan yang pernah membenarkan dua fahaman - Syiah Jaafariah dan Syiah Zaidiah diamal di negara ini pada 1984.

"Walaupun kita pernah membenarkan kedua-dua ajaran itu tetapi ia dimansuh dalam keputusan muzakarah khas jawatankuasa kebangsaan mengenai Syiah yang mengharamkan semua fahaman dari ajaran itu pada 1996.

"Dengan yang demikian tidak timbul penyebaran Syiah berlaku semata-mata kerana kerajaan pernah membenarkan kedua-dua ajaran (fahaman) ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan menggulung titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Selepas fatwa pengharaman Syiah diwarta, Jamil berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah membanterasnya termasuk menahan 10 aktivis Syiah mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1999.

"Fatwa itu memperakui ajaran Islam yang lain selain fahaman ahlus sunnah wal jamaah, bertentangan dengan hukum syarak dan pegangan Islam di negara ini.

"Dengan demikian penyebaran ajaran yang lain daripada pegangan itu dilarang," katanya.

Beliau berkata, keputusan jawatankuasa fatwa kebangsaan itu disusuli fatwa pengharaman Syiah di semua 14 negeri di Malaysia.

Sehingga kini, katanya, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak dalam proses mewartakan pengharaman itu manakala 10 negeri lain sudah berbuat demikian.

Menjawab dakwaan kewujudan sekolah aliran Syiah di negara ini, Jamil Khir berkata pemantauan dan kajian Jakim mendapati ia hanya dakwaan semata-mata.

"Bagaimanapun Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan tiada kelulusan penubuhan sekolah aliran Syiah di negara ini.

"Jakim setakat ini tidak menerima laporan pelajar aliran Syiah dari Iran menyebarkan ajaran ini kepada umat Islam negara ini," katanya. - Bernama, 30 Julai, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi