Bahasa

Kedudukan kerajaan BN di Terengganu harus dipertahan

Kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu harus dipertahankan demi memelihara mandat yang diberi oleh rakyat kepada Umno pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata Umno khususnya Umno Terengganu mempunyai cara dan pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan masalah dan konflik yang wujud.

"Pada masa sama, semua pihak harus beri ruang dan masa untuk pucuk pimpinan parti menggunakan segala saluran yang ada bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Terengganu menjadi tumpuan sejak semalam selepas Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun Kijal, meletak jawatan sebagai menteri besar disusuli majlis angkat sumpah Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar yang baharu malam tadi.

Susulan perkembangan itu, Ahmad, Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas.

Bagaimanapun, Roslee menarik kembali surat keluar daripada Umno dan kembali menjadi wakil rakyat BN menjadikan BN kini memegang 16 kerusi termasuk kerusi Speaker manakala PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).

Hishammuddin berkata Ahmad melakukan kesilapan apabila mengambil keputusan keluar daripada parti kerana beliau sepatutnya akur dengan surat yang ditandatanganinya sebelum ini.

"Justeru, tidak ada sebab untuk beliau bertindak begini sehingga tergamak mencemar imej parti," katanya dan menambah Umno Terengganu perlu sentiasa matang, setia dan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan tatkala berhadapan kemelut politik ini.

Beliau berkata ketika Terengganu diperintah oleh pembangkang pada satu masa dahulu, banyak masalah rakyat tidak mampu diselesaikan dan ramai yang putus harapan.

"Oleh itu, jangan kita biarkan pisang berbuah dua kali dan rakyat berada dalam situasi sukar," kata Menteri Pertahanan dan juga pemangku Menteri Pengangkutan itu.

Hishammuddin yang juga bekas pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu turut menyeru semua pihak agar rasional, bertindak bijak dan tidak mengambil keputusan melulu sehingga melangkaui kepentingan parti ketika berhadapan insiden terkini itu.

"Jangan terburu-buru atau melatah ketika kita berhadapan dengan ujian sebegini kerana pihak lawan sentiasa menunggu untuk mengambil kesempatan.

Sebaliknya, marilah rapatkan barisan demi parti keramat ini khususnya Umno Terengganu," katanya. – Bernama, 13 Mei, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.