Bahasa

Keganasan terhadap wanita beri impak negatif kepada pembangunan negara — Rosmah

BANGI, 19 Dis— Keganasan terhadap wanita harus dibendung kerana bukan sahaja memberi impak negatif kepada institusi kekeluargaan tetapi turut merencatkan agenda pembangunan negara, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (gambar).

Beliau berkata perlakuan seumpama itu juga mempunyai kesan yang sangat mendalam dan mengugat bukan sahaja kesihatan mental dan fizikal wanita tetapi juga anak-anak serta keluarga.

“Ia menyebabkan wanita tidak berupaya untuk bekerja, kehilangan pendapatan dan tidak mampu untuk menjaga diri sendiri, anak-anak serta keluarga,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita, di sini hari ini.

Justeru, Rosmah berkata pelbagai tindakan afirmatif yang merangkumi aspek perundangan, dasar, mekanisme pelaksanaan dan program telah diambil kerajaan demi kesejahteraan wanita di negara ini.

Langkah itu termasuklah dari segi perundangan yang merangkumi pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga dan penggubalan Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, katanya.

Kewujudan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negara pula menunjukkan keperihatinan kerajaan untuk memastikan golongan wanita terus mendapat pembelaan yang sewajarnya, kata Rosmah.

Namun, Rosmah berkata tindakan untuk menangani keganasan terhadap wanita tidak harus dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya semua pihak berkepentingan mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan gejala itu dapat ditangani secara lebih bersepadu dan berkesan.

“Peranan angggota masyarakat juga penting...usah biarkan masa depan wanita dan anak bangsa kita menjadi gelap kerana kita tidak prihatin terhadap nasib menimpa mereka,” katanya.

Beliau juga berharap kaum lelaki, suami dan bapa menjadi ‘The Champion Of Change’ dalam menangani sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.