Bahasa

Kekalkan semangat kejiranan dalam hadapi PRU13

KUALA LUMPUR, 22 April — Ketika ini, topik perbincangan paling “popular” dan “hangat” diperkatakan sudah semestinya apa sahaja yang berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Tidak kisahlah sama ada di warung kopi, bersama keluarga, saudara mara, sembang rakan di taman mahupun di mana-mana sahaja landasan mediumnya, isu berkenaan bagaikan sudah menjadi pandemik dalam kalangan masyarakat.

Bersesuaian dengan PRU13, yang digelar sebagai “ibu segala pilihan raya”, warganegara Malaysia kini masing-masing begitu teruja, bersemangat dalam mengecapi segala arus informasi kerana tidak mahu ketinggalan untuk merasai bahang yang kian memuncak itu.

Tidak terkecuali, senario kemeriahan pilihan raya turut dirasai di sesebuah kawasan kejiranan. Lihatlah di mana-mana sahaja kawasan berkenaan, pasti jelas akan suasana perang poster dan bendera, mewakili pelbagai parti yang bertanding.

Selain berperanan sebagai medium kempen bagi parti politik, ia juga adalah manifestasi wujudnya kebebasan berpolitik dalam masyarakat negara ini.

Hormati hak jiran anda

Senario ini juga selaras dengan sistem demokrasi amalan negara yang mana setiap individu itu memiliki kebebasan masing-masing dalam memberi sokongan kepada mana-mana parti politik.

Namun demikian, dalam suhu politik yang semakin hangat ketika ini ia juga tidak terlepas daripada terselit dengan permainan emosi dan sentimen.

Dan, sekiranya emosi dan sentimen dibiarkan menular menguasai masyarakat di sesebuah kawasan kejiranan, sudah tentu ia boleh mengocak semangat perpaduan dan keharmonian yang terbina selama ini.

“Jangan biarkan emosi menguasai tindak-tanduk anda semasa pilihan raya,” kata akademik Abdul Ghapa Harun.

“Anda harus faham, bahawa setiap orang mempunyai ‘hak’ masing-masing dalam membuat pilihan selaras dengan nilai-nilai demokrasi negara,” jelas Abdul Ghapa, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Dan, kunci keharmonian sesebuah kejiranan adalah setiap orang perlu menghormati ‘hak’ ini dan kesedaran mengenainya harus ada demi keharmonian hidup antara jiran.”

Dengan bertunjang kepada kesedaran akan peri pentingnya menghormati hak kepartian jiran anda, perihal perbezaan ideologi politik bukanlah menjadi satu permasalahan.

Tidak wajar

Lagipun, adalah tidak wajar bagi seseorang individu itu menghalang ataupun memaksa “jiran tetangga” mereka untuk menerima ataupun menzahirkan sokongan padu kepada parti tertentu.

Ini termasuklah mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata politik yang boleh membangkitkan pergaduhan sesama jiran tetangga, apa lagi memulau dan meminggirkan sesiapa sahaja yang bukan sealiran.

Pemahaman dan kesedaran berkaitan hak kejiranan ini perlu ada pada setiap individu supaya dapat menyingkirkan penguasaan emosi politik melampau dalam kehidupan berjiran yang mana jika dibiarkan akan menganggu-gugat keharmonian dan kemuafakatan antara jiran tetangga.

Ini juga selaras dengan kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa walaupun terdapat perbezaan politik, namun jangan jadikan ia sebagai penyebab kepada perpecahan malah perlu sentiasa hormat menghormati sesama jiran.

Jangan pentingkan diri

Tambahan pula, adalah sesuatu yang agak “menyedihkan” apabila keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah kejiranan itu boleh “hancur” dan “musnah” begitu sahaja gara-gara perbezaan fahaman politik.

Walhal, jiran adalah “saudara” paling terdekat yang boleh diharapkan pertolongan tatkala menghadapi ataupun berhadapan dengan kesusahan nanti.

Ibarat kata pepatah Melayu lama “jiran sepakat membawa berkat”, maka pandangan Rais akan kepentingan hidup berjiran seharusnya dihayati semua pihak tanpa mengira pegangan agama, warna kulit dan kepercayaan politiknya.

Ini termasuk dalam segala perihal berkaitan dengan pemasangan bahan-bahan kempen seperti kain rentang, bendera dan poster di sekitar kawasan kejiranan.

Justeru, amat penting bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti pemasangan bahan kempen mengadaptasi dan mempraktikkan sikap toleransi sesama mereka kerana pengamalan sikap tidak peduli terhadap orang lain boleh menjurus kepada perpecahan masyarakat, kata Abdul Ghapa.

Masakan tidaknya, kerana setiap kali menjelangnya musim kempen pilihan raya, isu-isu berkaitan dengan bendera parti dirosakkan, perebutan kawasan pemasangan menjadi paparan berita.

Disebabkan itulah, penyuburan semangat kejiranan perlu dipupuk dalam diri setiap individu dengan nilai disiplin tinggi, menghormati peraturan yang ditetapkan dan pemasangan bahan kempen hendaklah tidak mengganggu jiran.

“Mereka haruslah bertoleransi akan perkara ini, biarpun diberi kebebasan dalam pemasangan bendera tetapi janganlah sehingga memasangnya di depan rumah jiran anda,” katanya kepada Bernama.

Jangan campur adukkan

Biar apa sekalipun, aktiviti kemasyarakatan tidak seharusnya dicampur-adukkan dengan elemen politik kerana ia berpotensi merosakkan kesejahteraan kawasan kejiranan.

Sebaiknya, amalan bertegur-sapa, budaya kunjung-mengunjung, bergotong-royong, tolong menolong semasa kenduri  dirancakkan kembali tanpa adanya pengaruh emosi dan sentimen politik kepartian tertentu kerana faktor “kekitaan” adalah teras perpaduan masyarakat.

Akan tetapi, masih ada ruang bagi jiran tetangga untuk membincang atau membahaskan isu-isu berkaitan politik semasa dan di sinilah perlunya “kebijaksanaan” antara mereka.

“Perbahasan dan perbincangan antara jiran-jiran yang berbeza pandangan politik boleh berlaku. Tetapi, ia hendaklah berlaku secara berhemah, tidak merosakkan silaturahim dan berlangsung dalam suasana yang dapat merangsang pemikiran,” katanya.

Bagaimanapun, adalah “sebaiknya” perbualan berkenaan dielakkan sekiranya anda dan jiran adalah seorang yang tidak boleh menerima pandangan atau emosi mudah terkocak dengan isu-isu tertentu.

Kenali jiran kita

Sehubungan itu, program Kenali Jiran Kita yang dilancarkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di kawasan perumahan bandar awal tahun ini adalah tepat pada waktunya terutama semasa kehangatan musim pilihan raya kali ini.

Ia bertujuan menghidupkan kembali semangat perpaduan kejiranan antara penduduk majmuk bandar khasnya, dan berjaya diadakan di hampir 15 kawasan perumahan bandar seluruh negara.

Program ini disemarakkan dengan pelbagai aktiviti melibatkan penggalakkan jiran tetangga berinteraksi secara bersemuka seperti gotong-royong, aktiviti kesukarelawan dan khidmat sosial.

Bagi Abdul Ghapa, penganjuran kempen sedemikian rupa dapat mengingatkan masyarakat bahawa sejauh mana pun keghairahan kita berpolitik ia seharusnya tidak melupakan semangat kejiranan.

“Sama ada sewaktu pilihan raya atau selepasnya, kita yang hidup berjiran hendaklah sentiasa berpegang kepada prinsip saling menghormati perbezaan dan sedia berganding bahu dalam melakukan hal-hal yang dipesetujui bersama.

“Yang penting semangat kejiranan perlu sentiasa disuburkan setiap masa supaya kehidupan kita bersama jiran-jiran sentiasa dalam keadaan harmoni sepanjang masa,” katanya mengakhiri bicara. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.