Bahasa

Kekuatan Malaysia adalah perpaduan rakyat pelbagai etnik — Ongkili

August 28, 2012

KOTA MARUDU, 28 Ogos — Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kemampuan Malaysia mencapai kemerdekaan selama 55 tahun bukan datang secara kebetulan dan ia adalah satu rahmat kerana mendapat kekuatan daripada perpaduan dalam kepelbagaian rakyat berbilang etnik.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu berkata generasi hari ini mewarisi negara yang bersatupadu dan progresif daripada pengasas politik negara yang menetapkan bahawa kejayaan dan kebesaran negara perlu diasaskan melalui perpaduan nasional.

“Malaysia adalah sebuah negara yang diberkati dan tidak hanya bertuah di mana kita berada berbanding negara-negara lain yang mana rakyatnya yang pelbagai etnik dan agama tetapi tidak mempunyai perpaduan di kalangan kaum yang berbeza seperti yang ada di Malaysia,” katanya semasa melancarkan sambutan hari kemerdekaan ke-55 peringkat Kota Marudu di sini, hari ini.

Ongkili menjelaskan bahawa negara-negara di rantau ini dan di peringkat global iri hati dengan kejayaan Malaysia bukan sahaja kerana perpaduan dan keamanan yang dikecapinya malah dengan kemajuan pesat yang hanya mampu dicapai jika mempunyai prasyarat yang penting ini.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang kerana dapat membawa kemajuan dan menunaikan janji-janji bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik pada masa depan.

“Program transformasi kerajaan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah komitmen serius bagi mencapai status negara maju dan seterusnya Malaysia yang lebih baik.

“Bagaimanapun, usaha untuk menjadikan Malaysia lebih hebat adalah tugas bersama kerajaan dan rakyat dari semua peringkat. Kita mesti sentiasa menghargainya,” katanya sambil menambah kata bahawa Hari Kemerdekaan adalah sambutan atas kejayaan negara, satu upacara yang mana setiap lapisan rakyat perlu meraikannya.

Sambutan Merdeka peringkat Kota Marudu yang dilancarkannya bermula di Dewan Orang Ramai Kota Marudu dan dimulakan dengan acara berjalan kaki di lima lokasi dengan masing-masing diketuai Ongkili, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, Sarapin Magana, Adun Tandek, Anita Baranting, ketua Umno bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda dan ketua MCA Kota Marudu Datuk Goh Wak Kheng.

Acara itu turut disertai para pegawai jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai lapisan penduduk Kota Marudu.

Setiap pasukan membawa bendera melakukan perjalanan sejauh 5km yang berakhir di dewan orang ramai bagi majlis pelancaran itu. Acara yang turut diadakan termasuk bacaan sajak patriotik, kuiz Hari kemerdekaan, lakaran patriotik oleh pelajar, persembahan dan cabutan bertuah. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi