Bahasa

Kelantan sedia selesai isu royalti minyak di luar mahkamah

November 02, 2012

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Kelantan bersedia untuk menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak di luar mahkamah sekiranya Putrajaya memenuhi tuntutan RM800 juta royalti kerajaan PAS setiap tahun sejak 2005, kata exconya, Datuk Husam Musa.

Husam, yang mengetuai Gabungan Professional Menuntut Royalti Kelantan, sedang menimbangkan pengumuman kerajaan pada Selasa lalu yang menjanjikan RM100 juta kepada Pahang untuk pengambilan kawasan minyak di negeri tersebut.

“Tiada sebab untuk tidak membayar kepada Kelantan. Saya harap kita boleh selesaikan perkara ini di luar mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.

Perjuangan Kelantan menuntut royalti minyak daripada Petronas telah berlanjutan sekian lama di mahkamah sejak ianya difailkan pada Ogos 2010, walaupun berjiran dengan Terengganu, penyelsaian negeri itu dibuat di luar mahkamah awal tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Pahang dijangka akan menerima pembayaran khas sejumlah RM100 juta setahun bermula suku ketiga 2014, sebaik sahaja Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil memulakan pengeluaran minyak di Block PM 307 di lapangan minyak Bertam yang terletak di kawasan sejauh 160km dari pantai.

“Lapangan minyak itu terletak di kawasan kerajaan persekutuan,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan dipetik Bernama.

“Ia menjadi polisi untuk memberikan hasil minyak lima peratus secara tunai kepada Pahang.”

Jelas Husam (foto fail), jika kerajaan boleh memberikan bayaran kepada Pahang, Kelantan seharusnya menerima perkara yang sama seperti tertakluk di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Beliau turut menjelaskan beberapa akhbar juga menggunakan istilah berbeza untuk menerangkan pembayaran minyak kepada Pahang.

NST (New Straits Times) gunakan perkataan ‘royalti’, Sinar menggunakan ‘bayaran tunai’, Star juga merujuk bayaran lima peratus itu sebagai ‘bayaran petrol’. Semuanya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, tanpa mengira istilah yang digunakan, ia mendiskriminasi Kelantan,” kata Adun Salor itu lagi.

Beliau menjelaskan Najib turut mengumumkan jawatankuasa khas pada Ogos lalu untuk menyemak “keperluan” pemberian tunai bayaran petroleum kepada Pahang, Kelantan, dan Terengganu, langkah yang dilihat bakal menyelesaikan perbalahan yang digunakan sebagai isu dalam pilihan raya umum.

“Sampai sekarang saya masih lagi tidak mendengar sebarang berita berkenaan jawatankuasa tersebut,” kata Husam.

Beliau juga yakin pengumuman Najib itu bagi meraih sokongan rakyat Pahang untuk pilihan raya umu ke-13 akan datang, yang mana harus dilaksanakan menjelang April berikutan mandat Barisan nasional (BN) akan tamat.

Pada Ogos 2010, Kelantan telah memfailkan saman terhadap Petronas kerana gagal membayar royalti untuk minyak dan gas yang dikeluarkan dikawasannya termasuk usahasama antara Terengganu, Thailand dan Vietnam.

Menurut mereka, Putrajaya berhutang RM800 juta setiap tahun sejak 2005, namun kerajaan menolak dakwaan tersebut ekoran kawasan perairan di mana lokasi tersebut dijalankan.

Namun Husam menjelaskan kepada The Malaysian Insider, terdapat kaedah untuk mengira perbezaan ratio untuk lima peratus royalti berkenaan kepada semua pihak yang berkepentingan di medan minyak sekiranya terdapat dua atau lebih pihak yang menyatakan perkongsian wilayah perairan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi