Bahasa

Keluarga Kiram enggan menyerah, mahu tentera Sulu kekal di Sabah

Jacel Kiram berdiri di sebelah ayahnya, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu. — Gambar ReutersJacel Kiram berdiri di sebelah ayahnya, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu. — Gambar Reuters

Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, memberitahu Radio dzMm bahawa ayah saudaranya Agbimuddin Kiram dan 'tenteranya' tidak akan meninggalkan Sabah walaupun serangan hebat dari pasukan keselamatan Malaysia.

Beliau merayu anggota supaya setia dengan Agbimuddin, yang dikatakan "putera diraja" kesultanan Sulu.

"Tolong bertahan, ini (tentang) kehormatan dipentingkan dari nyawa," katanya yang dilaporkan dari laman web rangkaian media ABS-CBS News.

"Mereka cuma mahu tinggal di sana, di sana tempat mereka, mereka mahu tinggal di sana secara aman," kata Jacel di Radio dzMM, stesen radio milik ABS-CBS Corporation di Filipina.

Tengah hari tadi, ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita bahawa seorang lagi penceroboh Sulu ditembak mati apabila cuba menyelinap keluar dari Kampung Tanjung Batu, menjadikan jumlah kematian mencecah 53 orang, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Malaysia.

Tetapi mereka tidak bersetuju untuk meninggalkan Sabah, dan mengatakan negeri Malaysia timur itu kepunyaan kesultanan Sulu berdasarkan sejarah pada abad ke-17.

Malaysia menolak untuk gencatan senjata dan mengarahkan pasukan keselamatan untuk membunuh setiap militan, dan hanya akan mengadakan gencatan senjata sekiranya kumpulan penceroboh Sulu itu menyerah tanpa syarat.

Berhadapan syarat sedemikian, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berkata pihak militan tidak ada jalan lain kecuali menyerah.

Agbimuddin dan tenteranya masih bertahan, bagaimanapun mereka memberi laporan kepada "Kesultanan Sulu" semalam, mengatakan mereka selamat dan sedang dalam pelarian tetapi menderita akibat kelaparan.

Menurut laporan media, Biro Penyiasatan Nasional Filipina (NBI) menjalankan penyiasatan sejak semalam, dan memanggil penasihat Kesultanan Sulu Pastor "Boy" Saycon untuk soalsiasat Selasa hadapan.

Beberapa laporan berkata sapina tersebut adalah sebahagian dari pencarian NBI ke atas dakwaan wujudnya konspirasi dalam konflik bersenjata di Sabah.

Memetik jurucakap Sultan Abraham Idjirani dari akhbar The Philippine Star berkata kerajaan sedang cuba "melumpuhkan" pergerakan pengikut Jamalul, yang sekarang menghadapi kemungkinan berhadapan dakwaan melakukan jenayah dengan melakukan pemberontakan di Sabah.

Akhbar tersebut berkata sapina tersebut ditandatangani oleh timbalan pengarah Jabatan Risikan Reynaldo Esmeralda, dan dihantar jam 4 petang semalam ke pejabat Saycon di Makati oleh ajen NBI.

Saycon, setiausaha agung Majlis Perhubungan Filipina (COPA), telah dikaitkan dalam plot menghancurkan kestabilan pentadbiran lalu, menurut laporan laman sesawang ABS-CBN News semalam.

"Saya syak kerana perkembangan terbaru dan kemasukan ke Sabah," kata Saycon kepada The Philippine Star, walaupun beliau masih belum menerima sapina tersebut.

"Sudah dijangkakan bahawa penyokong sultan akan didakwa. Mereka sekarang sedang menyediakan lebih banyak sapina, kerana ugutan terhadap kerajaan sudah mula berleluasa dalam masa dua minggu ini."

Penganalisis strategi politik juga dilaporkan berkata Sultan Sulu sudah membentuk sepasukan peguamnya bagi membantu penyokongnya yang mungkin disiasat atau dihadapkan ke mahkamah kerana keganasan di Sabah, yang didakwa pihak berkuasa Malaysia pada Khamis meragut 52 warga Filipina dan lapan rakyat Malaysia.

"Saya fikir kerajaan ada konspirasi tanpa sebarang sebab, dan mahu menuduh orang ramai dan bukannya menyelesaikan krisis yang sedang meruncing di Sabah," dakwa Saycon menurut akhbar berbahasa Inggeris itu.

Kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Presiden Benigno Aquino III dikritik dalam menangani situasi di Sabah, dan berkata presiden tersebut seolah-olah tunduk dengan permintaan Putrajaya.

Tetapi Aquino menolak kritikan ini dengan berkata pentadbirannya tidak menolak tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah, tetapi ia seharusnya diselesaikan tanpa menggunakan senjata.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.