Bahasa

Kembang potensi diri, Rosmah nasihat generasi muda

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Generasi muda perlu mengembangkan potensi untuk menjadi insan yang berguna kepada diri sendiri dan masyarakat, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor kata Selasa malam.

Beliau berkata generasi muda merupakan kumpulan penting dalam meneraju masa depan negara dan untuk itu mereka perlu menyerlahkan jati diri, dan mengembangkan potensi untuk menjadi insan yang berguna kepada diri sendiri dan negara.

Melaporkan Bernama Online, beliau berkata demikian dalam kata aluannya yang disiarkan pada awal program akhir “Misi 12”, program realiti Astro di Pusat Penyiaran Asia, Astro di sini.

Rosmah (gambar) pada majlis itu menyampaikan hadiah kepada para peserta termasuk peserta terbaik yang dimenangi oleh Muhammad Subky Halib. Subky, 23, membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Rosmah turut berkata program itu mempunyai hasrat murni bagi membantu memperkasakan para remaja serta membina kerjaya mereka demi menjamin masa depan golongan belia.

Menurut laman web Astro, Misi 12 merupakan sebuah program untuk membantu dan merubah masa depan 12 orang remaja terpilih, yang terdiri daripada mereka yang menganggur, bertaraf pendidikan rendah, tiada cita-cita, kurang keyakinan diri serta mempunyai masalah sosial.

Tujuan utama Misi 12 adalah untuk mengukuhkan emosi mereka supaya mereka memperoleh kemahiran hidup secara praktikal, menjalani kehidupan lebih sihat, melaksanakan matlamat pendidikan mereka dan membentuk asas yang diperlukan untuk mencapai objektif berdikari dan peralihan mereka ke dalam hidup mereka sendiri.

Dalam program tersebut, kesemua 12 peserta dipecahkan kepada tiga kumpulan di bawah pengawasan tiga orang ikon yang bertindak sebagai mentor iaitu Pengurus Besar Mercedes Benz Malaysia Datuk Soke Clement Soo, Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn Bhd Gayatri Su-Lin Pillai dan Pengarah Coffee Scene Sdn Bhd (Bangi Kopitiam), Ooi Kim Chong.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.