Bahasa

Kemelut DAP-PKR bukti Pakatan tidak boleh pegang kuasa, kata Umno Johor

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Kemelut perebutan kerusi Gelang Patah membuktikan Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh memegang kuasa kerana apabila terlalu yakin menang menyebabkan mereka bergaduh sesama sendiri walaupun hanya kerana satu kerusi, kata pemimpin Umno Johor.

Pemimpin Umno menyifatkan perebutan kerusi dikalangan parti komponen PR — DAP, PKR dan PAS — akan lebih ketara pada Pilihan Raya 2013 berbanding situasi pilihan raya lalu kerana pada ketika itu pembangkang tidak menjangka akan memperoleh kemenangan besar.

“Berbeza dengan 2008 lalu, pembangkang memasuki pilihan raya tanpa menjangkakan mereka akan menang,” kata Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Tapi kali ini mereka nampaknya terlalu yakin akan menang dimana-mana kerusi yang ditandingi, jadi tidak hairanlah kalau mereka berebut kerusi tersebut.”

Nur Jazlan berkata, perebutan di Gelang Patah jelas membuktikan PKR dan DAP terlalu yakin pengundi Cina akan menyokong mereka pada pilihan raya akan datang.

Kerusi parlimen Gelang Patah mempunyai komposisi pengundi  majoriti kaum Cina sebanyak 54 peratus, diikuti kaum Melayu 33 peratus dan kaum India 12 peratus.

“Kalau kita lihat corak perebutan kerusi ini, sahlah PKR dan DAP yakin pengundi Cina dikawasan ini akan memberikan sokongan kuat kepada mereka,” tambah Nur Jazlan lagi.

“Oleh kerana mereka syor menang disini maka akan lebih banyak lagilah isu-isu perkauman yang dapat mereka mainkan untuk meraih sokongan pengundi terutamanya dikalangan masyarakat Cina nanti.”

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsol Bari Jamali menyatakan perbezaan idealisma dan objektif antara tiga parti (PKR, DAP dan PAS) menyebabkan PR sukar mencapai kata sepakat sambil berkata kemelut di Gelang Patah bukan suatu yang memeranjatkan.

“Mereka (PR) berbeza idealisma dan objektif, oleh sebab itu sentiasa bertelagah,” kata Ketua Bahagian Umno Air Hitam itu. “Kami (Umno) tak terperanjat, tapi sebenarnya dah lama berlaku cuma mereka sembunyikan sahaja.”

Bagi Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz pula, kemelut antara DAP dan PKR adalah bukti perbezaan yang ketara antara Barisan Nasional (BN) dengan PR terutamanya corak hubungan kesetiaan antara sesama parti komponen (Umno, MCA dan MIC) yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Kemelut ini gambaran pembangkang sudah pecah tembelang,” kata Mohamad Aziz. “Barisan Nasional (BN) sebuah gabungan yang berdisiplin. Mana yang patuh akan kekal, tapi yang melanggarnya akan terkeluar.”

Beliau juga berpendapat PR sebagai sebuah parti yang terdiri daripada ahli politik serpihan BN iaitu Umno, MIC dan MCA serta terdiri daripada pemimpin yang tiada kredibiliti dan kualiti.

Apabila ditanya sama ada gesaan supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda, pemimpin Umno mengganggap ia bukan langkah yang akan menggugat BN Johor tetapi sebaliknya rakyat boleh menilai sendiri kelemahan PR.

“Saya lebih suka ajak org setempat untuk menilai,” kata Samsol Bari. “Inilah dia yang dikatakan pakatan yang rapuh dan tidak berpijak di bumi yg nyata.”

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan pengerusi DAP negeri Dr Boo Cheng Hau menggesa Anwar campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perebutan kerusi di negeri Johor serta pada masa sama juga menyatakan tidak yakin dengan kepimpinan PKR negeri oleh Datuk Dr Chua Jui Meng.

Boo mendedahkan terdapat beberapa badan bukan kerajaan di negeri tersebut yang berkempen “Jangan jadikan DAP terlalu kuat” serta menyatakan mereka juga diserang daripada setiap sudut sehingga dilabel sebagai “bongkak”.

Beliau juga berkata PR di Johor sebelum ini tidak berhadapan sebarang masalah dalam menyelesaikan masalah kerusi sehinggalah Dr Chua menyertai mereka pada 2009.

“Perkembangan sejak dua tahun ini telah menggugat perpaduan Pakatan Rakyat, dan DAP telah menjadi sasaran oleh beberapa kuasa luar dan DAP dilabel sebagai “bongkak”.

“Kisah sebenarnya, PR Johor mempunyai hubungan yang kukuh dan berkesan dalam menyelesaikan pembahagian kerusi sebelum ini tetapi sebaliknya berlaku dengan kehadiran Datuk Chua Jui Meng,” tambah Boo lagi.

Dalam Pilihan Raya 2008, calon PKR Zaliha Binti Mustafa tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Tan Ah Eng di kawasan parlimen Gelang Patah dengan mendapat undi sebanyak 33,630.

PKR dilihat mengintai untuk bertanding semula dikawasan parlimen Gelang Patah pada pilihan raya tahun ini namun Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai secara terbuka telah mengatakan Liew Chin Tong akan diletakkan sebagai calon mereka.

Perkara tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang malahan Dr Chua yang dikatakan mahu bertanding di Gelang Patah juga seolah-olah tercabar dengan tindakan oleh DAP untuk meletak Liew.

Setakat ini, pucuk pimpinan PR masih belum membuat keputusan tentang parti mana yang berhak meletakkan calon di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.