Bahasa

Kementerian Kesihatan keluar kompaun RM7.67j Jan-Nov tahun ini

December 27, 2012

PUTRAJAYA, 27 Dis – Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan 16,786 kompaun bernilai RM7.67 juta dari Januari sehingga November tahun ini melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan wabak denggi.

Menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan, dalam tempoh yang sama 1,651 kes terbabit didaftarkan untuk tindakan mahkamah manakala 769 kes disabitkan kesalahan telah dikenakan denda berjumlah RM279,920.

“Sepanjang bulan November sahaja, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan 1,271 kompaun bernilai RM596,750 melalui tindakan penguatkuasaan yang sama.

“Sebanyak 115 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah manakala 83 kes yang disabitkan kesalahan dikenakan denda berjumlah RM37,480,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata 28,062 notis kesalahan telah dikeluarkan melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sepanjang Januari sehingga November tahun ini.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh yang sama, 15,020 kesalahan telah dikompaun dengan nilai RM3.38 juta.

“Bagi bulan November sahaja, Kementerian Kesihatan telah membuat 5,600 lawatan pemeriksaan dan sejumlah 2,165 notis kesalahan dikeluarkan. Dalam tempoh yang sama, 1,126 kesalahan telah dikompaun berjumlah RM269,230,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia.

“Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil Kementerian Kesihatan. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” kata kenyataan itu. – Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi