Bahasa

Kementerian Penerangan ingin melihat lebih perkahwinan tema 1 Malaysia

June 21, 2012

Kekayaan budaya masyarakat Malaysia perlu diketengahkan, menurut D’Cruz. — Gambar failKUALA LUMPUR, 21 Jun — Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menggiatkan usaha menarik lebih ramai usahawan bukan Melayu menyertai program “Promosi Kerja Kahwin” bagi menggalakkan penganjuran majlis perkahwinan bertema 1 Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata melalui penyertaan pelbagai kaum dalam program anjuran Kraftangan Malaysia itu, pengunjung khususnya pasangan yang bakal berkahwin dapat didedahkan dengan kebudayaan, adat istiadat dan gaya hidup masyarakat lain di negara ini.

Malah, katanya, melalui pembabitan pelbagai kaum, program itu mampu menarik lebih ramai pelancong asing untuk mengadakan perkahwinan secara tradisi masyarakat majmuk negara ini seterusnya memartabat budaya masyarakat Malaysia serta meningkatkan penggunaan industri kraf tempatan.

“Negara kita kaya dengan kepelbagaian budaya yang perlu diketengahkan termasuk dalam adat perkahwinan, jadi kementerian sentiasa galakkan semua kaum menyertainya.

“Program pada tahun ini juga menerima jumlah penyertaan pelbagai kaum yang lebih besar berbanding penganjuran tahun-tahun sebelumnya, terutama dari Sabah, Sarawak dan peranakan Baba dan Nyonya,” katanya pada sidang akhbar sempena Promosi Kerja Kahwin 2012 di Kompleks Kraf di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali.

Promosi Kerja Kahwin 2012 yang masuk kali ketujuh penganjurannya itu berlangsung 13 hari bermula semalam dan dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam di Kompleks Kraf, Jalan Conlay.

Selain itu, D’Cruz berkata pameran bertemakan “Kraf Ilham Dekorasi Perkahwinan” yang diadakan disertai 200 usahawan kraf dan 100 perunding perkhidmatan perkahwinan.

“Pameran itu menggalakkan masyarakat di negara ini agar terus mengguna pakai produk kraf tempatan dalam persiapan perkahwinan yang merangkumi aspek busana, gubahan hantaran, perhiasan pelamin dan makanan,” katanya.

Beliau berkata antara acara menarik yang telah disusun sepanjang program itu berlangsung ialah majlis persandingan pengantin beramai-ramai, kursus praperkahwinan, pertandingan seni perkahwinan Malaysia, demonstrasi andaman, tatarias dan sajian masakan perkahwinan. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi