Bahasa

Kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’ rendahkan martabat Nabi Muhammad, tegas Muslimat PAS

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Dewan Muslimat PAS menyelar kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam” yang dilancarkan Kelab Taat Suami sambil menegaskan “Islam tidak menjadikan seks sebagai agenda utama.”

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff berkata Kelab Taat Suami Malaysia pimpinan Fauziah Ariffin sepatutnya menggunakan kelebihan lain Nabi Muhammad berbanding kehidupan seks.

Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang meragui matlamat sebenar Kelab Taat Suami itu.

“Kalau kita lihat dari sudut Islam, bagaimana Islam mengangkat hubungan suci suami isteri tetapi seks bukan agenda utama sebaliknya menjaga keturunan adalah yang paling penting.

“Jadi sempena kelahiran Nabi Muhammad seharusnya kita bersyukurnya dan melihat bagaimana kelahiran Nabi Muhammad ini sebagai penyuluh seluruh alam,” kata Siti Zailah.

Tegas beliau, menjadi kehidupan seks sebagai agenda utama Islam adalah tidak wajar kerana banyak lagi aspek lain yang menjadi keutamaan menambah “seks hanya sebahagian daripada kehidupan manusia.”

“Islam datang dengan rahmat, bukan meletakkan agenda seks dan nafsu sebagai agenda utama tetapi bagaimana meletakkan ketinggian maruah manusia, saya tidak setuju bila letakkan seks sebagai agenda utama.

“Seks hanya satu suntikan yang kita disyorkan mengikut naluri semula jadi yang ada dalam diri manusia sesuai dengan syarak,” katanya dengan nada terkejut.

Justeru Siti Zailah menasihatkan Kelab Taat Suami kembali kepada ajaran Islam dan mengangkat martabat Rasulullah di kedudukan sebenar.

“Bagi saya kelab ini patut kembali kepada ajaran Islam, mereka perlu nilai balik apa agenda mereka.

“Kalau gelarkan Rasulullah sebagai tokoh seks seolah-oleh meletakkan Rasulullah di tempat yang tidak selayaknya, perkahwinan bukan semata-mata kerana seks dan saya sangat tidak bersetuju kerana ada banyak lagi perkara lain yang boleh diperbesarkan,” katanya.

Kelab Taat Suami pagi ini melancarkan kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam” sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.

Kempen selama 12 hari itu (bermula hari ini) adalah untuk meraikan kelahiran Nabi Muhammad pada 5 Februari depan atau 12 Rabiul Awal mengikut kalendar Islam.

Menurut Presiden Kelab Taat Suami Malaysia Fauziah, kempen itu diadakan bagi mengajak umat Islam terutamanya pasangan suami isteri untuk mengamalkan kehidupan Rasulullah.

Beliau berkata ramai “umat Islam sudah terlalu jauh dengan Rasulullah.”

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.