Kenaikan harga simen beri impak minimum pada kos bina rumah
KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Kenaikan harga simen baru-baru ini hanya akan memberi kesan minimum kepada kos keseluruhan pembangunan rumah dan tidak mewajarkan kenaikan harga rumah semasa, kata Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor Mohammad Sahar Mat Din.
Katanya penggunaan simen dalam bahan pembinaan rumah biasanya hanya melibatkan kira-kira 2.0 peratus dari kos keseluruhan pembinaan dan tidak sewajarnya isu kenaikan harga simen ini mempengaruhi harga semasa pasaran rumah.
“Buat masa ini, tiada faktor yang membolehkan harga pasaran rumah untuk naik mendadak kerana kebanyakan harga bahan binaan yang lain masih dalam keadaan stabil,” katanya kepada Bernama.
Katanya, sekiranya kenaikan harga simen hanya meningkat RM1 sebeg, seharusnya kenaikan harga rumah adalah kurang dari RM5,000 bagi rumah jenis kos sederhana yang berharga dalam lingkungan RM200,000 hingga RM500,000.
Oleh itu, Mohammad Sahar berkata pemaju tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk menaikkan harga rumah dengan begitu mendadak berhubung isu tersebut.
Bagaimana pun, katanya, isu kenaikan harga rumah tidak hanya bergantung kepada kos bahan binaan tetapi turut melibatkan faktor lain seperti harga tanah, kos pentadbiran, utiliti dan lain-lain lagi.
Kenaikan harga simen menjadi perhatian umum baru-baru ini apabila Persatuan Pemborong Binaan Malaysia melahirkan kebimbangan berhubung satu syarikat pengilang simen utama yang menaikkan harga simen di Lembah Klang mulai 1 Ogos.
Harga tersenarai simen meningkat RM1 kepada RM17.75 sebeg, daripada RM16.75, sementara harga simen pukal yang disenaraikan adalah RM340 satu tan metrik daripada RM320 satu tan metrik sebelum ini.
Sementara itu, Mohammad Sahar berkata sektor hartanah di negara ini masih lagi bergerak rancak dengan permintaan yang menggalakkan terutamanya bagi jenis rumah kos sederhana.
“Rumah kos sederhana yang berharga RM500,000 ke bawah masih lagi mampu menarik perhatian pelanggan terutamanya pasangan muda dan masih mampu dimiliki oleh mereka dan ini akan terus menjadi antara penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya. — Bernama




