Perkhidmatan pemandu pelancong warga asing di Sabah langkah sementara — Ng Yen Yen
KOTA KINABALU, 17 Sept — Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (gambar) berkata keputusan membenarkan warga asing, terutama dari Korea Selatan, menjadi pemandu pelancong di Sabah, adalah demi kebaikan dan pembangunan sektor pelancongan negara.
Beliau berkata ia hanya ‘langkah sementara’ bagi memenuhi peningkatan bilangan pelancong dari Korea Selatan ke negeri ‘Di Bawah Bayu’ serta langkah jangka panjang kerajaan untuk kebaikan bersama.
Ng berkata Malaysia melonggarkan dasar melarang pemandu pelancong asing ke negara ini, khususnya di Sabah, kecuali bagi Korea Selatan kerana sukar untuk mendapatkan pemandu pelancong yang boleh berbahasa Korea.
“Malah, ini permintaan daripada Kedutaan Korea di Kuala Lumpur kerana Sabah menjadi destinasi popular pelancong Korea.
“Sehingga Jun, kira-kira 43,800 pelancong Korea melawat Sabah berbanding 36,000 dalam tempoh sama tahun lepas, tetapi kita mempunyai hanya lapan pemandu pelancong tempatan yang boleh berbahasa Korea di Sabah.
“Jumlah ini pastinya tidak mencukupi untuk menampung peningkatan bilangan pelancong Korea,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di kampus utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah semalam agar Kementerian Pelancongan membatalkan keputusan membenarkan warga asing mengambil kursus pemandu pelancong tempatan, baru-baru ini.
Pengerusinya, Daniel Doughty dipetik sebagai berkata, membenarkan warga asing menjadi pemandu pelancong di sini akan menyebabkan pendapatan pemandu pelancong tempatan terjejas.
Ng berkata daripada 19 pemandu pelancong yang ditemu ramah setakat ini, hanya tujuh mempunyai permit kerja yang membolehkan mereka berkhidmat di Sabah.
Mengulas jumlah ketibaan pelancong ke negara ini, beliau berkata kerajaan yakin mencapai sasaran 25 juta pelancong dengan perolehan kira-kira RM60 bilion tahun ini.
Tahun lepas, negara mencatat 24.7 juta pelancong dengan jumlah perolehan sebanyak RM58.3 bilion.
Beliau juga yakin dengan perkembangan memberangsangkan industri pelancongan dilihat sekaligus mampu menjana lebih pendapatan buat negara.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ng berharap UMS akan memperkenal kursus pengurusan taman untuk melengkapkan pengurus taman dengan kemahiran sekaligus mempertingkat kualiti pengurusan taman di negara ini.
Mengenai KADS1M, Ng berkata 231 syarikat di seluruh negara mengambil bahagian dalam projek itu.
Sehubungan itu, beliau berharap pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dapat memanfaatkan KADS1M untuk meringankan beban kos hidup mereka. — Bernama
Ng berkata Malaysia melonggarkan dasar melarang pemandu pelancong asing ke negara ini, khususnya di Sabah, kecuali bagi Korea Selatan kerana sukar untuk mendapatkan pemandu pelancong yang boleh berbahasa Korea.



