Bahasa

Kerajaan persekutuan beri RM217 juta untuk projek bekalan air Kelantan

July 11, 2012

BACHOK, 11 Julai — Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM217 juta untuk membekal air bersih kepada 17,625 rumah di negeri ini dalam tempoh dua tahun bermula tahun lepas.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hasan Malek (gambar) berkata pembekalan air bersih itu dilaksana melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) melibatkan system retikulasi dan alternatif yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.

“Sehingga akhir Jun tahun ini, 11,259 rumah sudah menerima bekalan air bersih yang disediakan melalui projek itu,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada program sumbangan amal air bersih dan pelancaran skuad misi amal Yayasan Kasih Sayang Malaysia (YKSM) di Tangok di sini, semalam.

Hasan berkata bakinya sebanyak 6,366 rumah akan memperoleh bekalan air bersih sebelum akhir tahun ini.

Mengenai peruntukan membekal air bersih bagi penduduk di kawasan luar Bandar di seluruh negara, Hasan berkata peruntukan telah ditambah dari RM1.946 bilion tahun lepas kepada RM2.089 bilion tahun ini.

“Pada keseluruhannya projek BALB yang membabitkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan diperluaskan termasuk ke kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli, supaya mereka juga dapat menikmati bekalan air bersih,” katanya.— Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi