Bahasa

Kerajaan Selangor bentangkan kertas putih Talam esok

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Kerajaan Selangor berharap akan dapat menyelesaikan isu Talam dengan MCA apabila membentangkan kertas putih tentang pengstrukturan semula hutang Talam Corporation, yang didakwa MCA sebagai skandal RM1 billion.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan membentangkan kertas putih tersebut ketika sidang dewan undangan negeri esok dengan berkata, dokumen tersebut akan mengeluarkan maklumat lengkap tentang perjanjian kerajaan negeri dengan syarikat bermasalah itu pada tahun 2010.

“Saya yakin rakyat akhirnya dapat melihat pembohongan mereka akan terbongkar,” katanya selepas membentangkan Bajet 2013 di dewan undangan negeri pagi ini.

Pengerusi Biro Professional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong berkata dana rakyat yang digunakan oleh kerajaan negeri telah disalahgunakan dengan mendakwa pentadbiran Khalid telah melangsaikan hutang Talam yang bernilai RM676 juta untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM392 juta kepada anak syarikat negeri.

Beliau kemudian mendakwa RM392 juta dalam bajet tambahan diluluskan oleh dewan undangan negeri pada November 2010 kepada MBI digunakan untuk menebus syarikat tersebut.

Tetapi Pakatan Rakyat (PR) telah menafikan dan mengatakan dakwaan Chua sebagai “tidak masuk akal”, dengan berkata mereka bukannya menebus syarikat Talam, tetapi telah menyusun semula struktur hutang syarikat tersebut supaya kesemua hutangnya dapat dikembalikan.

“Tetapi bagi saya apa yang lebih penting adalah kenapa kita perlu belajar dengan isu Talam.

“Sudah berapa kali kita menerangkan apa yang berlaku, tetapi ada sesetengah dari kita gagal untuk memahaminya, atau enggan untuk memahami.

“Apa yang lebih teruk apabila terdapat elemen cuba mengelirukan orang ramai,” kata Abdul Khalid dalam ucapannya.

“Soalannya, bagaimana perkara ini berlaku?

“Jawapan saya - ini kerana pentadbiran 50 tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Dalam jawapan balas kerajaan negeri mengenai isu ini, mereka telah menerangkan hutang Talam Corp bernilai RM392 juta kepada tiga anak syarikat negeri telah wujud semasa pentadbiran BN dan dianggap sebagai “hutang lapok” kerana tidak dituntut oleh tiga anak syarikat ini.

Talam yang kini dikenali sebagai Trinity Corporation Berhad, pada masa itu memiliki Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) yang bernilai RM277 juta disamping SAP Holdings - anak syarikat kepada Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) bernilai RM115 juta ringgit, menjadikan jumlah RM392 juta.

Tetapi selepas kerajaan negeri jatuh ke PR pada pilihan raya 2008, hutang lapok tersebut kemudian dituntut kembali untuk mendapatkan semula hutang oleh Talam, dan bukannya menebus syarikat tersebut seperti yang didakwa oleh Chua.

Kerajaan negeri melalui dewan undangan negeri pada November 2010 telah melantik Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk menyelesaikan kutipan hutang RM392 oleh syarikat tersebut.

Selepas berbulan-bulan perbincangan, Talam Corp akhirnya bersetuju untuk pembayaran semula bernilai RM392 juta kepada MBI dalam bentuk tunai dan aset - satu pada 12 Mac 2010 dan kedua sebulan kemudian pada 9 April.

Menurut ahli dewan undangan negeri, semua penyelesaian telah didedahkan di Bursa Malaysia dan boleh didapati di laman web bursa saham tersebut.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.