Bahasa

Kes liwat: Mahkamah dengar rayuan pada 22 Julai ini

PUTRAJAYA, 22 Feb — Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 22 Julai ini bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tarikh rayuan tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, N. Kanageswari semasa pengurusan kes tersebut di hadapan beliau hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin hadir bagi pihak pendakwaan manakala Anwar diwakili oleh peguam Zaleha Al-Hayat.

Noorin memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 26 April ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak memuktamadkan nota prosiding.

Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar, 65, yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.