7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Kes PKFZ: Liong Sik mahu kertas Kabinet diubah status

TERKINI @ 06:05:40 PM 03-09-2010
September 03, 2010

Dr Ling meminta agar kesnya dipindahkan dari Putrajaya ke Kuala Lumpur. — gambar fail
PUTRAJAYA, 3 Sept — Barisan peguam bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, yang berhadapan dengan tuduhan berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), hari ini memohon di Mahkamah Sesyen agar minit mesyuarat Kabinet yang berkaitan dengan projek itu diklasifikasikan semula.

Tuntutan itu dibuat pagi ini ketika mahkamah bersidang untuk mendengar sebutan semula tuduhan ke atas beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula tuduhan Dr Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan itu.

Selain itu beliau juga meminta kesnya dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Dr Ling merupakan individu kelima dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal PKFZ.

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka OC Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Ketika dikenakan didakwa pada 29 Julai lalu, Dr Ling mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya jemaah menteri berhubung pembelian tanah untuk projek “Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri di sini dengan memperdayakan Kabinet untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega “distribution hub” di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

a) luas tanah ialah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki persegi:

b) kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

c) tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah “bayaran tertangguh” selama 15 tahun dengan kadar faedah  sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600), dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/ faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian telah dengan sengaja mendorong Jemaaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Kabinet.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada kerajaan Malaysia, yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Peguam Dr Ling, Wong Kian Kheong, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pihaknya telah membuat permohonan pemindahan itu pada 1 September lalu mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah dan memohon pihak pendakwaan mempertimbangkannya.

Tiga dokumen yang dipohonnya pula adalah dokumen mesyuarat jemaah menteri, mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan dan mesyuarat jawatankuasa jemaah menteri.

“Merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, kami perlukan penjelasan takrif “rahsia rasmi” dengan merujuk kepada tiga dokumen ini yang tergolong sebagai “rahsia rasmi”. Saya perlu dokumen ini diklasifikasi untuk membolehkan pembelaan sewajarnya dibuat.

“Untuk sediakan pembelaan, saya juga telah memberitahu pendakwaan bahawa saya perlu menemu bual saksi-saksi berkenaan dengan tuduhan utama dan tuduhan alternatif dengan kehadiran pegawai penyiasat,” kata Wong sambil memohon satu tarikh sebutan awal dan singkat demi kepentingan awam memandangkan Ling pernah menjadi menteri.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya tidak membantah  kes itu ditetapkan sebagai kes sebutan tetapi bukanlah dalam tempoh yang singkat.

“Kami tidak membantah untuk tetapkan tarikh sebutan tetapi tidak mungkin pembelaan sendiri boleh buat jika tarikh yang singkat ditetapkan sebab untuk temu bual saksi, pembela perlukan dokumen. Pendakwaan juga terlibat dalam kes PKFZ yang lain.

“Kami memohon akhir November ini untuk membolehkan pendakwaan meneliti permohonan yang kami terima pada 1 Sept (pindah kes ke Mahkamah Tinggi) agar pendakwaan menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

“Kami akan kemukakan dokumen-dokumen yang dipohon pembelaan mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah. Akan terdapat dokumen lain yang akan diserah sebeum bicara” katanya.

Mengenai Akta Rahsia Rasmi yang dibangkitkan Wong, beliau berkata sekiranya pihak pembelaan akan menggunakan dokumen itu di mahkamah kelak, sudah pasti pihak pendakwaan akan menjelaskannya dan ia tidak menimbulkan sebarang isu.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 30 November untuk sebutan kes.

Turut hadir bersama Ling di mahkamah ialah isterinya Toh Puan Ena Ling dan dua anak lelaki mereka, Hee Leong dan Hee Keat.