Bahasa

Kes Sarbaini: Peguam mahu buat laporan polis, dakwa tulisan Raja Petra ada asas

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 20, 2011

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini (gambar) membunuh diri seperti yang didakwa.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Mahkamah koroner yang diketuai  Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

“Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap.

“Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri.

“Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian,” kata Awtar.

Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini..

“Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini).

“Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku,” tambah Awtar.

Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi