Bahasa

Kesatuan pekerja MAS bertindak membawa isu MAS-AA ke Parlimen

Oleh Lee Wei Lian
March 15, 2012

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Kesatuan dan pertubuhan yang mewakili pekerja Penerbangan Malaysia (MAS) bercadang membawa usul melupuskan perjanjian usahasama antara MAS dengan Air Asia ke Parlimen ekoran perjumpaan dengan Perdana Menteri bulan lepas.

Tindakan tersebut akan mengetengahkan kepentingan politik yang tertera dalam perjanjian antara bekas pesaing, AirAsia dan MAS, di mana kesatuan mendakwa majoriti ahli kesatuan kini beralih kesetiaan kepada pihak pembangkang kerana ketidakpuas hatian terhadap perjanjian usahasama yang dimeterai.

Setiausaha Umum Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) Abdul Malek Ariff telah memberitahu The Malaysian Insider mereka akan menghantar memorandum sama yang telah diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak menentang pakatan MAS-AA kepada ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat (PR).

“Langkah seterusnya adalah untuk bertemu YB-YB di Parlimen,” beliau berkata.

Abdul mendedahkan bahawa Najib, semasa perjumpaan selama sejam dengan kesatuan, telah menyatakan beliau bersimpati dengan keluhan ahli kesatuan, namun perdana menteri belum lagi memberikan kata pemutus.

Pemimpin kesatuan itu turut mendakwa berikutan perjumpaan itu, perdana menteri telah membuat panggilan kepada pengerusi MAS, pengarah besar dan pegawai Khazanah Nasional Berhad tentang aduan bersama yang dibuat pekerja. Telah difahamkan bahawa pengarah besar Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar telah berjumpa dengan Najib tentang aduan pekerja itu.

Abdul berkata MASEU bercadang untuk mendesak wakil-wakil politik untuk menghentikan kerjasama MAS-AA kerana “tidak adil” kepada MAS, dan turut menambah bahawa perjanjian itu telah menerima  tindakbalas negatif daripada ahli kesatuan.

“Apabila Cawangan Khas (SB) memanggil saya bertanyakan bagaimana pekerja MAS akan mengundi kelak, saya kata dulu 50:50 tapi kini 90 peratus akan memilih pembangkang, “ katanya. “Bila bercakap dengan para pekerja, mereka semua mengeluh tentang kerajaan.”

MASEU, organisasi yang berpusat di Semanjung, mempunyai lebih 7,000 pekerja namun Abdul berkata tujuh lagi kesatuan dan pertubuhan mewakili pekerja MAS, pengurus dan juruterbang termasuk daripada Sabah dan Sarawak juga diwakili dalam memorandum, membawa kepada jumlah 13,000 hingga 14,000 pekerja.

Abdul berkata isu utama bagi ahli kesatuan adalah mereka “tidak percayakan” AirAsia.

“Perundingan pekerja sudah parah apabila kepercayaan sudah tidak wujud,” beliau berkata.

Antara rungutan yang diketengahkan MASEU termasuk cadangan memotong gaji dan faedah pekerja sehingga 30 peratus dan kemasukan bekas pekerja AirAsia mengambil alih jawatan penting MAS.

The Malaysian Insider melaporkan pada 9 Mac bahawa Putrajaya akan mengkaji semula kerjasama berusia lapan bulan antara MAS dengan AirAsia setelah ia gagal menunjukkan sebarang kemajuan mahupun menaikkan semangat pekerja seramai 20,000 orang di penerbangan yang mencatat kerugian RM2.52 billion dalam 2011.

Kerajaan turut mempertimbangkan menswastakan MAS dengan mengarah pengurus asset negera Khazanah untuk membeli balik 20.5 peratus kepentingan saham yang diberi kepada Tune Air Sdn Bhd, pemilik majoriti Air Asia, yang ditukarkan dengan kepentingan 10 peratus dalam AirAsia.

Khazanah dan Tune Air telah bersetuju kepada pertukaran saham itu Ogos lepas, setelah empat percubaan memeterai perjanjian antara MAS dan AirAsia gagal.

Bank CIMB milik Khazanah menjadi penasihat dalam perjanjian itu, yang dilihat sebagai percubaan terakhir menyelamatkan MAS walaupun telah berlakunya program bantuan dalam 2001 yang dirancangkan badan perunding BinaFikir Sdn Bhd.

MAS mencatatkan kerugian tahunan paling besar pernah dialami, RM2.52 billion, bulan lepas, menyebabkan CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata penerbangan itu menghadapi “krisis”.

Penerbangan itu berkata kerugian disebabkan kenaikan harga minyak, yang naik daripada US$95 setong pada 2010 ke US$133 setong dalam 2011.

Kerugian diluar jangkaan itu juga disebabkan peruntukan “one-off” seperti penghantaran semula kapal terbang, kemerosotan nilai kapal pengangkut dan stok lapuk.

MAS bercadang untuk memuktamadkan dan mengumumkan rancangan mendapatkan dana dan mengukuhkan lembaran imbangan.

Rancangan itu penting kerana penerbangan itu berhasrat mendapatkan 23 buah kapal terbang baru yang akan membawa kos kira-kira 6 billion.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi