Bahasa

Keseluruhan GTP 1.0 tempa kejayaan, jana keberhasilan ketara

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Peringkat pertama Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menempa kejayaan dan menjana keberhasilan yang ketara meskipun berhadapan dengan cabaran yang menyebabkannya terlepas beberapa sasaran, demikian menurut Laporan Tahunan GTP 2012.

Laporan itu menyebut matlamat peringkat pertama GTP ialah untuk mengubah keadaan yang besar dan segera kepada struktur perkhidmatan awam dan kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA).

Menurut laporan yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri, tahun 2012 merupakan tahun terakhir bagi fasa pertama yang dikenali sebagai GTP 1.0, manakala fasa kedua (GTP 2.0) dilaksanakan mulai tahun ini hingga 2015.

Fasa terakhir (GTP 3.0) akan bermula pada 2016 dan berakhir pada 2020.

Fasa GTP pertama terbukti merupakan yang paling mencabar antara ketiga-tiga fasa itu memandangkan pasukan NKRA memikul tugas berat untuk memperkenal dan memupuk semangat perubahan yang berterusan dalam asas-asas perkhidmatan awam.

"Ini bukanlah satu tugas yang mudah dan pasukan NKRA melaporkan beberapa tentangan daripada badan kerajaan, yang sebahagian besarnya telah pun dijangka.

Bagaimanapun secara kesimpulannya dapat dibuat bahawa tugas GTP 1.0 telah menempa kejayaan walau apa pun jua ukurannya," menurut laporan itu. 

Menurut laporan itu, GTP 1.0 membuahkan hasil yang positif sehinggakan standard bagi beberapa inisiatif utama telah dinaikkan dengan begitu ketara pada 2012 dan turut mencatatkan pelbagai pencapaian penting sepanjang empat tahun pelaksanaannya. 

Bagi NKRA Membanteras Rasuah pula, pencapaian terpentingnya ialah keputusan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk menggunakan pangkalan data 'Name and Shame' NKRA pada 2011, yang menyenaraikan semua pesalah yang disabitkan kesalahan rasuah sejak pelaksanaannya pada 2010.

Sepanjang tempoh GTP 1.0, NKRA Pendidikan memperoleh kejayaan yang memberangsangkan termasuk peningkatan kadar enrolmen prasekolah, saringan pelajar sekolah rendah bagi kemahiran asas numerasi dan literasi serta mengenal pasti sekolah berprestasi tinggi, katanya.

Laporan itu menyebut, NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat (COL) diperkenalkan bagi menangani isu kenaikan harga barang dengan menyediakan bantuan kewangan secara langsung kepada rakyat yang paling memerlukan dan melaksanakan program yang bertujuan membekalkan keperluan asas seperti makanan dan penjagaan kesihatan pada harga yang berpatutan.

Menurut laporan itu, NKRA Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH) berjaya membasmi hampir semua masalah miskin tegar melalui kombinasi bantuan kewangan secara langsung dan juga program yang dirumus khas bagi membantu membangunkan kemahiran yang menggalakkan kemampuan kewangan kendiri.

NKRA Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI) diberi tugas melaksanakan matlamat langsung bagi memastikan hampir keseluruhan penduduk luar bandar mendapat akses kepada infrastruktur, menurut laporan itu lagi.

"Bagaimanapun, kekangan bajet pada 2012 menyebabkan berlakunya sedikit kelewatan dalam penyampaian NKRA ini. Namun NKRA ini mencatatkan kemajuan ketara termasuk berterusan memberikan bekalan air bersih kepada 60,000 rakyat luar bandar serta menyediakan kemudahan jalan raya bagi 140,000 isi rumah di Sabah," menurutnya.

Selain itu, NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar telah melancarkan inisiatif yang mencakupi usaha memperluas keupayaan rel hinggalah langkah-langkah yang direka bentuk untuk memperkemas aliran trafik dalam bandar.

GTP kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya yang bertujuan mempertingkat dan meneruskan inisiatif yang dicetuskan oleh GTP 1.0 dengan menggabungkan pengajaran yang diperoleh dengan sasaran baharu yang hendak dicapai dalam tempoh tiga tahun akan datang. Walaupun fasa terakhir GTP (2016 hingga 2020) masih terlalu jauh untuk ditentukan, matlamatnya ialah untuk memastikan bahawa semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang akan merasai nikmat kehidupan negara yang berpendapatan tinggi, menurut laporan itu lagi. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.