Bahasa

Ketua AMK: Hasmi cabar Shamsul Iskandar lagi?

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Hasmi Hashim yang tewas dalam pemilihan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tiga tahun lalu akan mengumumkan pendiriannya sama ada bertanding lagi ataupun sebaliknya sebelum sambutan Aidilfitri minggu depan.

Pendirian itu termasuklah kemungkinan bersaing jawatan pusat.

“Dalam AMK, atau di luar AMK, saya akan mengumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri tetapi pastinya bukan sayap wanita,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Hasmi, 34, yang kini merupakan Ketua Cabang PKR Parit Sulong berkata beliau sedang mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin parti.

“Biasanya saya berbincang dengan pemimpin-pemimpin parti,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau menafikan pertemuan dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini yang tertangguh bukan bertujuan mendapatkan “restu” beliau.

“Tidak, tidak... saya sepatutnya jumpa beliau kerana urusan parti. Bukan untuk mendapatkan restu bertanding,” katanya.

Pada 2007, Shamsul Iskandar dipilih sebagai Ketua AMK setelah mengalahkan Hasmi.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Mohd Rafizi Ramli mengumumkan akan bertanding jawatan ketua AMK kali ini.

Ketua Ekskutif Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata keputusan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan itu adalah dengan matlamat untuk melakukan satu perubahan dalam mendekati generasi muda.

Beliau juga mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves Amirudin Shari yang juga Naib Ketua AMK akan bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua AMK yang kini disandang Fariz Musa sebagai anggota pasukannya.

Kira-kira 400,000 ahli PKR akan mengundi ketika pemilihan parti November ini.

Di bawah pasukannya, ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Tzin akan bertanding kerusi naib ketua manakala jawatan Exco AMK pula disaingi ADUN Teja Chang Lih Kang, bekas Ketua AMK Selangor Halimey Abu Bakar, Ketua Biro Integrasi

Keadilan Perak M A Tinagaran dan Pengerusi Siswazah Muda Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Saifullah Zulkifli.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.