Ketua Polis Pulau Pinang dilantik Pengerusi Urus Setia NKRA
KUALA LUMPUR, 20 Julai — Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob dilantik sebagai Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara.
Beliau menggantikan Datuk Abu Samah Mat yang kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan).
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pelantikan Ayub adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang pencegahan dan penyiasatan jenayah serta pernah memegang jawatan ketua polis Melaka dan Terengganu.
“Saya amat yakin perlantikan Ayub akan dapat mengukuhkan lagi aktiviti pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui kolaborasi kumpulan fokus yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.
“Kolaborasi itu turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
NKRA Pengurangan Jenayah dikendalikan Pemandu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), diketuai oleh seorang pengarah yang peranannya tidak membabitkan proses mengumpulkan perangkaan jenayah.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata kumpulan fokus itu bertindak sebagai penyelaras komunikasi dan pelaksana tindakan dalam menangani segala isu jenayah di negara ini.
Beliau berkata kumpulan fokus itu terdiri daripada pegawai kanan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Datuk Wira Ayub Yaakob, gambar), KDN dan Pemandu (Dr Waitchalla RRV Suppiah) dan JPM (Nishan MPR Veerakumar).
“Melalui pendekatan ini, usaha untuk memastikan keselamatan orang awam juga sedang dikembangkan di tempat-tempat tumpuan seperti pusat-pusat membeli belah, sekolah dan tempat-tempat awam lain secara selaras dan teratur,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rahim berkata kerajaan memandang serius terhadap usaha mengurangkan kadar jenayah dalam memastikan keadaan kawalan keselamatan berada dalam tahap yang tinggi yang boleh mewujudkan rasa selamat di kalangan masyarakat. — Bernama
KUALA LUMPUR, 20 Julai — Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob dilantik sebagai Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara.



