Bahasa

Khairy: Ibrahim Ali ‘gedebe politik’, pentingkan diri

REMBAU, 27 Jun — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap Presiden Pergerakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali sebagai `gedebe politik’ ekoran pendirian pemimpin itu mengecamnya dalam isu biasiswa.

Sehubungan itu tegas Khairy, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat lebih cenderung mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu untuk kepentingan diri sendiri.

Selain kaum-kaum lain, Khairy berkata, sebahagian besar orang Melayu juga kurang senang dengan pendekatan agresif Ibrahim dalam memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera.

“Dia (Ibrahim) tidak sopan dan suka cari gaduh dengan orang lain. Sekiranya kita tidak jauhkan diri daripada Ibrahim, Barisan Nasional (BN) akan terkena tempiasnya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau dekat sini hari ini oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mohamad Hasan.

Serang-menyerang kedua-dua wakil rakyat ini bermula sejak Rabu lalu berhubung kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dalam soal biasiswa.

Semalam, Ibrahim sekali lagi mempertikaikan kepimpinan Khairy dengan berkata, beliau sebenarnya “bangga dengan label jaguh politik kampung” yang diberikan oleh ketua Pemuda Umno itu berhubung isu membela Wee.

“Saya bangga kerana dipanggil jaguh kampung... sekurang-kurangnya saya dekat dengan rakyat, bermakna (saya) barang ‘asli’.

“Sebab itu, saya boleh menghayati perjuangan nenek-moyang dan kasih pada bangsa begitu tebal serta memahami sejarah,” kata Ibrahim dalam respons balas kepada kenyataan Khairy kelmarin, yang menyifatkannya sebagai jaguh kampung kerana mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau.

“Saya adalah seorang jaguh kampung macam lembu jantan berani berjuang... apa yang datang di depan saya, saya akan lawan habis,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini.

Ibrahim mendakwa orang Melayu berharap hanya Mara yang dapat membantu mereka dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

“Orang kampung hanya mengharapkan pada Mara... sebab itu saya bangga menjadi jaguh kampung,” kata beliau lagi.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, Ibrahim tidak layak memintanya berhenti sebagai wakil rakyat kerana “beliau bukan merupakan pengundi kawasan Rembau atau (sekurang-kurangnya) ahli Umno.”

Ibrahim menggesa Khairy meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat atas alasan kepimpinannya telah “menggadaikan maruah bangsa” semata-mata kerana mempertahankan Ketua Pemuda MCA dalam isu biasiswa.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional berkata kesediaan 40 ulama muda mengganggotai Umno menunjukkan mereka berminat untuk bergerak bersama sayap Pemuda parti.

“Saya percaya dengan penyertaan mereka, kita boleh menganjurkan lebih banyak program berunsur kerohanian terutamanya di kawasan-kawasan isu-isu politik sering dikaitkan dengan agama,” katanya.

Beliau berkata perkembangan terbaru itu satu tamparan hebat kepada PAS yang selama ini menganggap ia parti politik pilihan golongan ulama.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.