Bahasa

Khaled tawar penyelesaian isu tanah di Johor jika BN kekal

 

JOHOR JAYA, 18 April — Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menawarkan penyelesaian isu tanah kepada rakyat Johor sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mengekalkan penguasaan mereka di negeri berkenaan.

Khaled yang merupakan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas itu juga berkata segala masalah rakyat Johor juga akan diselesaikannya jika BN kekal selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan dilaksanakan pada 5 Mei depan.

“Sebagai calon DUN, saya memberi jaminan kepada semua pengundi khususnya kawasan Pasir Gudang, semua masalah yang dihadapi akan diselesaikan, apatah lagi isu tanah.

“Boleh balik tidur, isu tanah akan diselesaikan ... tapi jangan tidur sekarang, menangkan kita baru tidur,” katanya yang sebelum ini merupakan Menteri Pengajian Tinggi.

Khaled (gambar) juga merupakan antara nama pemimpin BN negeri yang dikatakan bakal menjadi Menteri Besar sekiranya BN kekal di Johor, sekaligus menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang telah menjawat jawatan tersebut selama empat penggal.

“Kepada pengundi Johor Jaya, saya masih Ketua Umno Bahagian, jadi saya akan jaga pengundi di Johor Jaya,” katanya lagi disambut sorakan 2,000 penyokong BN yang hadir dalam majlis pengenalan calon di Dewan Johor Jaya di sini.

BN meletakkan calon baru menggantikan Khaled di kerusi Parlimen Pasir Gudang, iaitu Normala Abd Samad, dan Tan Cher Puk mewakili DUN Johor Jaya, dan beliau berpindah ke kerusi DUN Permas dalam PRU 13.

Dalam majlis itu, Khaled turut mengumumkan penubuhan 36 Pusat Daerah Mengundi bagi Parlimen Pasir Gudang dengan setiap jawatankuasa dibantu 150 bilik gerakan dan 8,600 anggota jentera BN.

“Kita pasti akan menang dalam pilihan raya dan saya berharap bagaimana saya dapat sokongan kuat sebagai ahli Parlimen, begitulah juga sokongan kepada calon Parlimen yang baru,” katanya memberi peringatan kepada penyokong parti pemerintah itu untuk menyokong calon baru yang ditampilkan BN.

Pakatan Rakyat (PR) dalam kempen mereka di Johor dilihat bersungguh-sungguh menawan negeri berkenaan apabila meletakkan kepimpinan utama mereka di Johor dengan meletakkan Penasihat DAP Lim Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di kerusi Parlimen Pulai.

BN pula meletakkan bekas menteri besar Abdul Ghani untuk menentang Kit Siang di Gelang Patah, manakala penyandang kerusi Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed akan berentap dengan Salahuddin.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.