Bahasa

Khalid nafi Pakatan Selangor robohkan kuil Hindu sepanjang pemerintahannya

SHAH ALAM, 24 April — Penyandang Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kerajaan negeri pernah terlibat dalam aktiviti merobohkan kuil Hindu sepanjang lima tahun pemerintahannya  seperti yang dikatakan oleh pengerusi BN baru-baru ini.

Datuk Seri Najib Razak semasa jelajahnya di negeri Selangor pada Isnin mengatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak menghormati kaum India kerana merobohkan kuil-kuil penganut Hindu di negeri itu.

“Saya dapati, kenyataan-kenyataan ini, ialah kenyataan yang membesarkan sesuatu perkara yang tidak benar,” kata Abdul Khalid dalam satu sidang akhbar di sini, merujuk kepada dakwaan Najib.

“Itu cerita sahaja. Kita mesti tengok insiden-insiden yang sebenarnya,” tambah Abdul Khalid (gambar) lagi.

Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok itu lagi, kerajaan pusat harus belajar dengan negeri Selangor tentang bagaimana untuk menguruskan rumah-rumah ibadat seperti kuil Hindu.

“Sebenarnya, kuil-kuil ini, kalau dirobohkan, mesti mendapat persetujuan mereka dan diganti.

“Itu Najib boleh buat kajian bagaimana kita menyelesaikan masalah dimana kuil di seksyen 23 dialih dan dibangunkan ke satu tempat yang lebih manfaat dan lebih baik lagi,” katanya.

Najib mempertahankan calon kontroversi Datuk Zulkifli Noordin untuk bertanding di Parlimen Shah Alam walaupun pemimpin MIC S. Vell Paari memberi amaran baru-baru ini bahawa tindakan itu hanya akan menyebabkan parti pemerintah tewas di Selangor pada pilihan raya 5 Mei depan.

Najib juga menyelar kerajaan Selangor kerana memusnahkan tujuh kuil Hindu di negeri paling kaya dalam negara itu.

“Bukankah itu lebih serius? Lebih teruk lagi bagi masyarakat Hindu berbanding dengan apa yang Zulkifli Noordin kata 10 tahun lalu semasa beliau bersama PAS?” katanya.

“Mereka turut robohkan kuil peribadi di Sepang. Itu lebih teruk, seribu kali lebih teruk daripada apa yang Zulkifli Noordin telah lakukan,” tambah Najib.

Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan "Keling", yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu.

Zulkifli pernah menjadi salah seorang panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempersoalkan kesuciaan Sungai Ganges yang turut dikenali sebagai Ganga di India, dianggap suci oleh penganut Hindu.

Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN selepas dipecat daripada PKR pada 6 Mac, 2010 disebabkan laporan polis yang dibuatnya kepada penyandang kerusi parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Calon Umno, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, kalah kepada Khalid pada 2008 dengan majoriti 9,314 undi. Pada 2004, beliau mengalahkan Khalid dengan majoriti 13,410 undi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.