Bahasa

Khalid Samad ingatkan pengundi tolak calon ‘perkauman’

KUALA LUMPUR, 18 April -- Khalid Abdul Samad malam tadi mengingatkan pengundi negeri Selangor supaya tidak memilih parti dan calon perkauman, serta menambah lawannya Datuk Zulkifli Noordin yang diumumkan sebagai calon di Shah Alam adalah seorang yang mengamalkan politik perkauman.

Khalid berkata para pengundi perlu menolak sebarang ideologi politik perkauman kerana ia hanya membawa kepada kebencian dan memecah belah rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Zul Noordin adalah Umno dan Umno pula adalah Zul Noordin... tuan-tuan jangan terpedaya, Umno boleh katakan calon mereka itu bebas dan bukan mewakili parti tersebut.

“Zul Noordin adalah seorang perkauman dan mewakili parti perkauman,” kata Khalid pada majlis kutipan dana anjuran DAP di Restoran Rashna, Klang.

Di samping itu, Khalid juga mengecam Zulkifli sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai adab kerana menghina penganut agama dan kaum lain di dalam negara sewenang-wenangnya.

“Rakyat harus menolak calon yang perkauman dan yang mengamalkan Islam ekstrem seperti Zulkifli ini.

“Umno tidak mementingkan kesatuan rakyat, sebaliknya hanya tahu mewujudkan kebencian,” katanya lagi.

Pengumuman Zulkifli sebagai calon di Shah Alam mengejutkan, tetapi BN tidak mempunyai pilihan selain menampilkan tokoh agama konservatif tersebut untuk merampas kerusi daripada penyandangnya Khalid (PAS) serta meletakkan ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga.

Zulkifli merupakan bekas ahli parlimen PKR di kerusi  Kulim-Bandar Baharu tetapi dipecat pada 2010 oleh jawatankuasa disiplin kerana perbezaan pandangan dengan prinsip Pakatan Rakyat (PR) dan kini beliau merupakan naib presiden NGO Perkasa.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Khalid mengalahkan calon dari BN, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dengan majoriti sebanyak 9,314 undi.

Semalam S Vell Paari dari MIC mengatakan BN akan kalah di Selangor pada 5 Mei ini jika gabungan tersebut bertegas untuk meletakkan Datuk Zulkifli Noordin di Shah Alam, dalam kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel.

Menurut pemimpin MIC itu, dengan meletakkan Zulkifli, BN berisiko untuk kehilangan undi India, yang beliau katakan akan menjadi faktor penentu di negeri seperti Selangor - kini diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR).

Menurut SMS yang dihantar ke The Malaysian Insider dari sumber dalaman parti itu semalam, Vell mendesak Palanivel untuk menyampaikan kebimbangannya kepada Datuk Seri Najib Razak dan meminta tindakan dari pengerusi BN itu, memberi amaran “keadaan buruk” jika tiada tindakan diambil.

“Kepada Datuk Seri G Palanival, Zulkifli Noordin sebagai calon di Shah Alam adalah penghinaan kepada orang Hindu di Malaysia. Di mana-mana orang emosi mengenai perkara ini,” katanya dalam SMS tersebut yang turut dihantar kepada ahli jawatankuasa pusat MIC.

Anak kepada bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu terdapat 15,000 pengundi India di Shah Alam, 31,000 di Kota Raja, 21,000 di Kapar dan 17,000 di Subang, kebanyakkannya menurut beliau marah dengan pemilihan Zulkifli oleh Najib.

Pilihan Raya 2013 akan berlangsung pada 5 Mei dan hari penamaan calon adalah pada 20 April menjadikan tempoh berkempen secara rasmi sepanjang 15 hari.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.