Bahasa

Khalid tidak jangka kenyataan Tian Chua tentang Lahad Datu

SHAH ALAM, 6 Mac — Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menjangka Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang (gambar) membuat kenyataan wujud dakwaan ‘konspirasi terancang’ dalam krisis pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Besar Selangor itu sebaliknya melahirkan rasa hormat dan percaya di atas usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya tak tergambar pemimpin PKR akan mengeluarkan kenyataan itu. Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memberi penghormatan dan kepercayaan kepada usaha institusi kita, polis dan tentera untuk pertahan negeri dan negara.

“Maka dengan dana RM10 juta di bawah Tabung Wira Rakyat Selangor kesemua ahli keluarga wira yang terlibat akan menerima RM20 ribu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco hari ini.

Menurut Abdul Khalid, jasa anggota keselamatan negara akan terus dikenang sebagai pejuang negara yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan kedaulatan negara tidak tergugat.

Sumbangan itu bagi menyanjung tinggi pengorbanan wira-wira yang terkorban dan cedera dan penyerahan bantuan itu akan dimulakan pada esok.

Pada minggu lalu, naib presiden PKR Chua Tian Chang dilaporkan oleh KeadilanDaily, sebuah portal dalam talian, bahawa insiden tembakan di Lahad Datu dipercayai merupakan “konspirasi terancang kerajaan Umno” untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Kenyataan tersebut menyebabkan bantahan dari bekas anggota polis yang menganggap naib presiden PKR itu cuba mempolitikkan isu tersebut, dan Isnin lalu, 100 bekas polis berhimpun di hadapan Tugu Negara membantah tuduhan Chua itu.

Sesetengah blog pro-BN turut mengatakan Chua menggambarkan kematian anggota keselamatan tersebut sebagai “mati katak” dalam satu ceramah di Puchong Ahad lalu. Chua menafikan membuat kenyataan tersebut, dan mengatakan beliau berada di Johor ketika itu.

Krisis pencerobohan Lahad Datu yang bermula sejak 9 Februari lalu, memuncak apabila pada Jumaat dan Sabtu lalu berlaku kejadian tembak menembak yang mengorbankan lapan orang anggota polis.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.