Bahasa

Khalwat: Dr Asri syor prosedur operasi dikaji elak kematian

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Kesal dengan tindakan penguatkuasa agama yang berakhir dengan kematian ketika operasi pencegahan maksiat semalam, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa agar garis panduan “tangkap khalwat” diperketatkan.

Ini kerana jelas beliau, operasi “tangkap khalwat” yang dilaksanakan penguatkuasa sekarang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam sehingga boleh menyebabkan kematian.

Dalam kejadian semalam, seorang bekas pegawai polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel, dipercayai ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang melakukan operasi cegah maksiat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, bekas pegawai berusia 62 tahun itu difahamkan berpangkat asisten suprintendan sebelum bersara, cuba melarikan diri menerusi tingkap hotel namun terjatuh di beranda tingkat lima hotel itu.

Ketika serbuan dibuat, difahamkan lelaki itu berada dalam bilik hotel bersama pasangannya, seorang ibu tunggal berusia lingkungan 40-an.

“Memandang Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi tangkap khalwat mestilah diperketatkan.

“Ini kerana operasi tangkap khalwat selalu menimbulkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam dalam hal ini, ramai orang menyangka tanpa operasi tangkap khalwat, maka bertambah perzinaan dalam masyarakat sedang mereka lupa zina itu berkembang disebabkan maksiat terbuka seperti media, hiburan, pentas seni dan seumpamanya yang secara terang mempromosikan maksiat,” kata Asri.

Justeru beliau mencadangkan agar beberapa perkara perlu dikaji dan dititikberatkan dalam melakukan operasi “tangkap khalwat.”

Selain itu, Asri juga berkata setiap garis panduan yang ditetapkan harus dipatuhi dan difahami oleh penguatkuasa agama.

“Yang pertama operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus (intipan khalwat) berkembang dalam masyarakat Islam, maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperoleh berdasarkan perbuatan tajassusnya.

“Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut, seperti nampak dari luar rumah atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Pemberi maklumat memperoleh secara jelas, bukan tajassus atau intipan,” katanya.

Tegas beliau, operasi “tangkap khalwat” hanya boleh dilakukan sekiranya maklumat yang diterima sahih dan jelas.

Jelas Asri, tindakan penguat kuasa agama yang memeriksa bilik ke bilik atau meminta pintu dibuka untuk diperiksa tanpa sebarang bukti yang boleh memberi ancaman keselamatan awam bercanggah dengan tuntutan Islam.

“Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas dan aktiviti itu dimaklumi oleh masyarakat sekeliling.

“Maka tajassus seperti memeriksa bilik ke bilik atau meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kepentingan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan roh Islam.

“Ia menggalakkan sikap prasangka dan boleh memalukan atau menjatuhkan maruah mereka yang diperiksa,” katanya.

Selain menegaskan operasi tanpa bukti tidak boleh dijadikan sebagai teras, Asri berkata, maklumat mengenai aktiviti maksiat tidak boleh didedahkan kepada umum kecuali untuk tujuang penghakiman.

“Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam.

“Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media masa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain,” katanya.

Tambah Asri, penguatkuasa agama tidak boleh menuduh seseorang melakukan zina tanpa mempunyai empat orang saksi.

“Jika pegawai itu menuduh tanpa bukti, maka hendaklah dibicarakan di bawah peruntukan qazaf,” katanya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.