Bahasa

Khutbah Jumaat ingatkan Muslim agar bersatu elak menjadi kaum hina

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Umat Islam di negara ini diingatkan mereka bakal menempuh kesukaran di tanah air sendiri selepas keputusan Pilihan Raya 2013 diumumkan ekoran kuasa politik yang semakin terhakis akibat perbalahan sesama sendiri, kata khutbah Jumaat hari ini.

Khutbah yang dibacakan sebelum Solat Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut mengingatkan nasib kaum Melayu untuk menghadapi kemungkinan menjadi “bangsa hina di negara sendiri”.

“Jangan kita merasa selesa di bumi sendiri sebagai pewaris kepada tanah air, kaum majoriti bersandarkan kepada kuaolitik yang disifatkan semakin terhakis di sebabkan perbalahan sesama sendiri.

“Umat Islam dibimbangi sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib menjadi bangsa yang hina di negara sendiri,” kata khutbah berkenaan yang boleh diperolehi di laman web JAKIM.

Barisan Nasional (BN) telah membentuk kerajaan selepas 5 Mei lalu apabila memenangi 133 kerusi Parlimen, berbanding 89 menjadi milik Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU 13.

Bagaimanapun, undi popular di seluruh negara menjadi milik PR dengan lebih 50 peratus, sedangkan BN hanya menerima sekitar 47 peratus undi popular.

“Selari dengan keputusan pilihan raya ini yang memberi ruang besar untuk kita  berfikir dan bermuhasabah tentang masa depan umat Islam dan negara yang tercinta ini.

“Justeru, mimbar menyeru umat Islam sekalian, marilah kita mengukuhkan perpaduan dengan memulihkan dan mengeratkan hubungan sesama kita serta mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua perkara dan tindakan,” kata khutbah tersebut.

Khutbah Jumaat sejak beberapa bulan lalu menyaksikan beberapa perkara berkaitan politik termasuk tajuk manifesto pilihan raya  ”Menepati Janji, Membawa Harapan” turut digunakan sebagai tajuk khutbah.

Khutbah berkenaan bagaimanapun tidak menjurus kepada mana-mana parti politik.

Pemimpin BN telah mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan pilihan raya menggambarkan sebagai “Tsunami Cina” apabila majorti pengundi Cina memilih PR berbanding BN.

Malah, akhbar Umno turut menyiarkan berita muka hadapan yang bertajuk “Apa lagi Cina Mahu” yang menimbulkan respon negatif daripada pelbagai pihak di laman sosial.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.