Bahasa

Khutbah Jumaat: KL, Selangor larang umat Islam sambut Hari Valentine

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melarang sama sekali umat Islam menyambut Hari Kekasih termasuklah memberi sokongan, mempromosikan, mengajarkan dan menyebarkan apa-apa sambutan yang berkaitan dengannya.

Dalam khutbah yang disampaikan hari ini, kedua-dua Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan Hari kekasih adalah sambutan penganut Kristian yang mengenang hari kematian seorKang paderi mereka.

“Tiada sambutan ini dalam ajaran Islam,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid dan surau di negeri Selangor hari ini.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus pada isu tersebut, yang kontroversi sekarang ekoran laporan bahawa Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan penguatkuasaan mengawal golongan muda beragama Islam menyambut Hari Kekasih yang jatuh Isnin ini.

Sebaliknya menurut khutbah itu, umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia sepanjang masa tanpa membataskannya pada hari-hari tertentu sahaja.

“Keempat, pihak Media dan pengamal laman sosial adalah diminta untuk tidak mempromosikan Sambutan Hari Kekasih ini walau dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.

Bagaimanapun Jakim berkata akan mengedarkan kira-kira 15,000 kit anti-Hari Kekasih sempena pelancaran kempennya di Putrajaya malam ini.

Khutbah Jumaat Selangor berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam.

“Hari Kekasih yang disambut pada 14 Februari setiap tahun adalah sambutan yang dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain.

“Ia disambut dengan pelbagai cara dan acara bermula dengan kiriman kad dan bunga hingga parti tari-menari. Malah ada yang menyambutnya dengan pertemuan dan berakhir dengan perzinaan demi membuktikan cinta dan kasih sayang mereka,” kata teks khutbah hari ini.

Malah ia menambah, jelas dan nyata sekali bahawa sambutan Hari Kekasih bukan dari ajaran Islam yang suci, malah melanggar syariat dan bertentangan dengan tatasusila fitrah murni manusia.

“Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat di kalangan remaja dan pasangan Islam di negara ini, turut meraikan Hari Kekasih ini... mereka meraikannya kerana ingin bersukaria dan terikut-ikut dengan budaya ini tanpa mengetahui sejarahnya,” katanya lagi.

Justeru, kata khutbah, orang Islam tidak boleh menyambutnya, menyertainya dan merayakannya.

“Islam memang menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu melalui saluran yang dibenarkan oIeh syarak.

“Bukan dengan jalan yang mendorong atau merangsang kepada kemungkaran dan maksiat,” jelas khutbah.

Kata khutbah, apa yang lebih menyedihkan akibat dari merayakan sambutan hari-hari seperti ini remaja Islam semakin liar dan semakin ramai yang terjebak dengan gejala sosial serta keruntuhan moral.

Menurut teks khutbah, rekod Jabatan Pendaftaran Negara bahawa sejak 2000 hingga 2008 sebanyak 257,411 Sijil Kelahiran telah didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa.

“Rekod ini menggambarkan betapa ramai anak-anak yang tidak sah taraf atau lahir secara luar nikah untuk tempoh sembilan tahun tersebut,” tambah khutbah.

“Jumlah yang begitu ramai untuk tempoh kurang 10 tahun ini sewajarnya mengundang rasa bimbang dan gerun dengan masa depan Generasi Islam,” katanya.

Justeru, khutbah Selangor menggesa setiap orang Islam khasnya golongan remaja seharusnya meninggalkan budaya “Hari Kekasih” yang hanya bertujuan merosakkan akhlak masyarakat Islam.

“Ingatlah sesungguhnya Yahudi dan Nasrani akan terus berusaha sedaya-upaya untuk memperdaya umat  Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka.

“Pelbagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian umat Islam,” tambah khutbah.

Dalam pada itu, khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) “panduan yang sebenarnya untuk menzahirkan rasa cinta dan kasih telah digariskan dengan jelas dalam Islam.”

“Islam mengajar umatnya tatasusila berkasih sayang dan ia perlu diuruskan sebaiknya,” jelas khutbah dengan berkata, sambutan Hari Kekasih adalah amalan yang bercanggah dan dilarang dalam Islam dan mesti dijauhi.

“Kedua, umat Islam dilarang meniru gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani di semua aspek kehidupan.

“Ketiga, Islam menganjurkan umatnya agar berkasih sayang setiap masa dan ketika kerana Allah,” tambah khutbah itu yang menggariskan tiga rumusan berbanding empat oleh khutbah Selangor, yang kerajaan negerinya diterajui Pakatan Rakyat.

Salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat ialah PAS.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi, Dewan Pemuda PAS menegaskan, pihaknya “bukan penghukum dan juga “bukan polis moral” tetapi akan meneruskan kerja-kerja menyelamatkan generasi muda.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, biarpun berdepan dengan kritikan pedas daripada pelbagai pihak, sayap pemuda PAS itu akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda daripada terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral.

Malah tegas Nasrudin, beliau sedia menawarkan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS dengan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral dan memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf.

Semalam, Nasrudin berhadapan dengan kritikan pelbagai termasuk rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat ekoran laporan bahawa akan melancarkan kempen membendung aktiviti tidak sihat pada sambutan Hari Kekasih, Isnin ini.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke menegaskan parti itu tidak bersetuju sama sekali pendekatan yang diambil Nasrudin untuk melakukan “pemeriksaan tidak bermoral” terhadap pasangan pada sambutan Hari Kekasih.”

Ia melampaui kuasa ahli Pemuda PAS untuk melakukan penguatkuasaan sedemikian dan kempen itu tidak pernah dibincangkan dengan Angkatan Muda PKR dan Pemuda DAP.

PAS Selangor juga menolak cadangan Nasrudin yang mahu melancarkan kempen membendung gejala tidak bermoral di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Justeru kata Nasrudin, gerakan dakwah itu akan disemarakkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS di seluruh negara melalui Pemuda negeri masing-masing dengan memilih beberapa lokasi sasaran yang berpotensi berlakunya  kegiatan tidak bermoral sempena sambutan Hari Valentine.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.