Bahasa

Khutbah Jumaat Wilayah label Bersih gerakan pelampau

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Selepas dikecam hebat dalam media arus perdana, Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai turut menjadi fokus khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini dengan menyifatkan penganjurnya sebagai gerakan pelampau.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali mengesahkan perkara itu.

Kata beliau, sebanyak 150 masjid termasuk di Putrajaya akan membacakan khutbah bertajuk “Memelihara Nikmat Keamanan”.

“Ya . . . ya . . . kita akan gunakan khutbah khas itu sebab penting satu keamanan yang kita kecapi tidak mudah kita musnahkan,” jawabnya ringkas.

Ditanya lebih lanjut, Che Mat bagaimanapun meminta agar terus mendapatkan kandungan khutbah Jumaat itu dari laman web agensi itu.

Teks khutbah itu berkata memelihara keamanan adalah satu perkara yang dituntut dalam semua agama.

“Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan  kemakmuran.

Kita juga telah menyaksikan betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan,” katanya.

“Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam,” kata khutbah khas yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus ke atas Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat.

Parti teras BN iaitu Umno dan Perkasa menentang keras Himpunan Bersih 2.0.

Justeru mereka juga mahu mengadakan perhimpunan balas pada hari yang sama.

Sejak sebulan yang lalu, Himpunan Bersih 2.0 dikecam hebat dalam media arus perdana, malah polis juga memulakan tindakan keras dengan menahan lebih 100 setakat ini.

Sekitar 2,000 laporan polis dibuat ke atas Himpunan Bersih 2.0.

Kata khutbah itu, Islam menolak mana-mana gerakan yang boleh menghuru-harakan keamanan sesebuah negara termasuk daripada gerakan pelampau.

“Mutakhir ini kita dibimbangi oleh gerakan golongan pelampau yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pilihan Bersih dan Adil.

“Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira  sensitiviti dan kepentingan awam.

“Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, mereka  berarak ke hulu hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang negara malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan,” katanya.

Tegas khutbah itu, Himpunan Bersih 2.0 berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan politik untuk “meniru” keganasan di negara asing untuk menekan pemerintah negara yang diterajui BN.

“Apa yang paling malang lagi, golongan  ini berlindung atas nama  perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik, menggunakan media cetak dan elektronik, kemudahan Internet dan meniru tindakan  keganasan yang berlaku di negara asing bagi menekan dan mengugut pemerintah serta rakyat di negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka.

“Mimbar ingin menegaskan bahawa tindakan golongan pengkhianat seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu  tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat,” katanya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.