Bahasa

Kisah dua ‘pondok’ menjelang PRU13

Walaupun serba kekurangan, petugas-petugas di bilik gerakan PKR tersebut mempunyai kreativiti tersendiri. – Gambar-gambar oleh Choo Choy MayWalaupun serba kekurangan, petugas-petugas di bilik gerakan PKR tersebut mempunyai kreativiti tersendiri. – Gambar-gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 19 April — Dianggap sebagai “ibu kepada semua pilihan raya”, parti-parti politik sudah mula bergerak dengan membina jentera pilihan raya sejak beberapa minggu sebelum hari penamaan calon.

Khemah atau kargo kontena telah mula bersepah-sepah ditempatkan sekitar kawasan bandar, serta dipasang dan diikat bersama dengan bendera parti. Hanya kekurangan poster wajah calon-calon yang bertanding tapi ia hanya sementara dan akan mula dipasang sebaik bermula tempoh rasmi berkempen.

Satu kisah pada satu hari minggu dengan mendekati “pondok-pondok” ini menggambarkan gambaran daripada sudut ekonomi untuk kempen pilihan raya tidak lama lagi.

Berhampiran Masjid Amru Ibni Al-as, kira-kira 20 orang termasuk petugas dan penyokong parti komponen Pakatan Rakyat, PKR yang sedang berkampung di Sentul kelihatan asyik menonton video ceramah yang dipasang pada skrin layar besar.

Bilik gerakan PKR di Sentul yang didirikan daripada khemah yang sudah usang merupakan lokasi utama bagi operasi berkempen di kawasan Parlimen Batu yang disandang oleh Tian Chua.

“Selalunya kami pasang vcd pemimpin berpengaruh dan hebat dalam berceramah.

“Video ceramah Mat Sabu, Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution antara yang mampu menarik orang ramai berhenti untuk lihat,” kata Husni Mohamad yang ditemui di bilik gerakan PKR di Sentul berhampiran sebelah Masjid Amru Ibni Al-as.

Selain menonton video ceramah, aktiviti lain seperti permainan catur dan karom juga dimainkan untuk mengisi waktu terluang.

Walaupun serba kekurangan, petugas-petugas di bilik gerakan PKR tersebut mempunyai kreativiti tersendiri apabila mendirikan bahagian-bahagian bilik kecil untuk berehat dan bersembahyang, serta memiliki satu kaunter semakan pengundi yang didirikan daripada rotan.

Di sudut hujung kaunter semakan, satu tabung derma diletakkan bagi mengutip wang bertujuan untuk belanja harian petugas di bilik gerakan.

Petugas juga terpaksa berkongsi kemudahan akses internet broadband dengan beberapa petugas lain.

“Kalau petugas yang pegang broadband balik, kami tidak adalah akses internet.

“Kami berkongsi broadband dan seorang sahaja yang memilikinya,” ujar Husni yang sudah seminggu bekerja di bilik gerakan sejak Dewan Rakyat dibubarkan.

Salah seorang pengundi di Batu, Chang Hui, 34, yang singgah untuk menyemak daftar pemilih terpaksa beredar pergi begitu sahaja apabila tidak dapat menyemak namanya kerana tiada akses internet di bilik gerakan tersebut.

Tidak jauh daripada itu di Wangsa Melawati—dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju—beberapa petugas Barisan Nasional (BN) lengkap berbaju t-shirt biru menghabiskan malam hujung minggu mereka dengan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris menerusi satelit berbayar Astro yang dipasang pada sebuah kontena kecil, yang merupakan bilik gerakan mereka.

Kira-kira 30 orang yang terdiri daripada petugas BN berkumpul sambil menikmati teh serta makanan ringan yang dibeli berhampiran 7 Eleven yang bersebelahan bilik gerakan tersebut.

Berbeza dengan bilik gerakan lawan mereka pembangkang, bilik gerakan BN serba lengkap dan lebih selesa.Berbeza dengan bilik gerakan lawan mereka pembangkang, bilik gerakan BN serba lengkap dan lebih selesa.Berbeza dengan bilik gerakan lawan mereka pembangkang, bilik gerakan BN serba lengkap dan lebih selesa.

Tiga buah komputer yang lengkap dengan akses internet broadband juga bersiap-sedia menanti orang awam yang ingin menyemak daftar pengundi.

Semasa memperkenalkan diri wartawan daripada The Malaysian Insider, wajah para petugas sedikit berubah namun selang beberapa minit kemudiaan mereka mula selesa untuk berbual-bual.

“Beginilah kami setiap malam selepas bertugas, berkumpul dan berbincang tentang isu semasa,” kata salah seorang pemuda yang enggan namanya didedahkan.

“Kalau ada tugasan pasang bendera, kami akan mula pasang jam 8 malam dan tutup kedai pada 12.30 malam,” tambahnya.

Bilik gerakan BN tersebut beroperasi sejak jam 10 pagi tapi menjelang waktu malam ianya lebih meriah dengan kehadiran penyokong dan penduduk sekitar yang akan berkumpul.

Disamping itu, petugas BN juga diwajibkan untuk memakai baju rasmi berwarna biru dengan lambang dacing bagi mewujudkan keseragaman dan persepsi baik dikalangan masyarakat sekitar.

“Bila turun bekerja, kami kena pakai baju biru ini. Ia macam pakaian seragam lah, orang ramai akan kenal kami sebagai orang BN bila pakai baju ini,” tambah salah seorang petugas yang mahu dikenali sebagai Hasnol.

Satu perkara yang jelas disini ialah sama ada mereka daripada gabungan Barisan Nasional ataupun pembangkang, tempoh dua minggu daripada sekarang adalah menarik dan pasti lebih panas apabila semakin dekat dengan hari pilihan raya pada 5 Mei ini.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.