Bahasa

Kit Siang gesa Putrajaya tidak sembunyikan situasi sebenar di Lahad Datu

Oleh Md Izwan
February 23, 2013

Menurut Lim, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menyekat media daripada membuat liputan tentang keadaan di perkampungan Kampung Tanduo memalukan Malaysia serta menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada sumber berita dari negara luar.

"Ia sangat sedih dan memalukan sejak dua minggu lalu apabila rakyat Sabah dan Malaysia terpaksa mencari di Internet untuk membaca tentang apa yang berlaku melibatkan situasi tegang di Lahad Datu.

"Rakyat terpaksa mendapatkan berita daripada media Filipina kerana terdapat sekatan maklumat yang luas ke atas media Malaysia," kata Lim (gambar).

Pemimpin politik veteran tersebut juga menggesa Najib menarik balik sekatan tersebut dan memberitahu seluruh rakyat tentang keadaan yang berlaku di Lahad Datu tanpa menyembunyikan sebarang fakta.

Selain itu, Lim juga mempertikaikan pasukan keselamatan negara yang bertanggungjawab menjaga perairan negara sehingga menyebabkan pencerobohan tersebut berlaku dan mahu pihak yang cuai dalam menjalankan tugas tersebut tampil ke hadapan.

"Bagaimana boleh tentera laut, tentera darat, pihak maritim dan polis leka hingga menyebabkan berlaku isu keselamatan dan pencerohohan serius ini berlaku.

"Siapakah yang sedia tampi ke hadapan untuk mengakui bertanggungjawab atas kelalaian keselataman ini yang sudah masuk minggu ketiga ini?" soal Lim lagi.

Lim juga berkata ia suatu yang memalukan kepada negara dan menyebabkan imej negara tercemar, malahan status negara paling selamat di Asia Tenggara seperti yang dibanggakan oleh Putrajaya selama ini sebagai tidak munasabah.

Malahan keputusan menyerahkan kepada Wisma Putra untuk menyelesaikan kemelut di Lahad Datu seperti yang dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Hussein juga dipersoalkan oleh Lim memandangkan masalah tersebut sepatutnya diselesaikan oleh Kementerian Pertahanan di bawah menterinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Persoalan yang rakyat Malaysia ingin tahu sekarang ini ialah mengapa Hishammuddin menyerahkan kepada Wisma Putra untuk mengendalikan pencerobohan ini, kenapa bukan Kementerian Pertahanan?

"Bolehkah Najib jelaskan mengapakah Hishammuddin dan polis perlu berhadapan dengan kemelut ini tapi bukannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan tentera?" ujar beliau lagi.

Semalam, KDN di bawah bidang kuasa Hishammudin berkata menyerahkan kepada Wisma Putra untuk membuat keputusan berhubung permohonan kerajaan Filipina meminta lanjutan masa bagi pengusiran kumpulan penceroboh warganegara itu di Lahad Datu, Sabah.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika permohonan itu dipersetujui, ianya diharapkan tidak terlalu lama kerana KDN tidak akan berkompromi dengan perkara yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Pada 13 Feb lepas, pasukan keselamatan Malaysia menahan sekumpulan warga asing bersenjata yang berpakaian tentera kerana menceroboh perairan Lahad Datu, Sabah.

Jumaat lalu, Manila menggesa sekumpulan 100 warga negara itu yang bersenjata dan kini dikepung pasukan keselamatan Malaysia di pesisir pantai berhampiran Lahad Datu, Sabah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing di tanah air mereka.

Setiausaha Ketiga dan Naib Konsul Kedutaan Besar Filipina di Kuala Lumpur Johann Veronica M. Andal berkata pasukan tentera dan polis negara itu kini memantau serta bertukar maklumat dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia dalam usaha mencari penyelesaian segera insiden itu.

Sabah merupakan sebahagian dari Kesultanan Sulu sehingga Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888.

Walaubagaimanapun, hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat.

Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan ia menjadi tanah jajahan Borneo Utara sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak, dan Singapura pada 16 September 1963.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi