Bahasa

Klip YouTube lebih berpengaruh dari iklan, kata penganalisis

Oleh Boo Su-Lyn

April 10, 2013

KUALA LUMPUR, 10 April — Pengundi muda lebih mudah dipengaruhi oleh klip video menjelang Pilihan Raya 2013 berbanding pengiklanan oleh kerana klip seperti itu lebih dekat dengan mereka, kata pengananlisis komunikasi hari ini.

Video bertajuk "Sehari dalam hidup rakyat Malaysia" telah tersebar di YouTube, menampilkan watak beruang Panda - yang berlakon sebagai pekerja profesional yang hidupnya dihantui dengan nama ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary di mentol lampunya, sudu gula teh, kereta Proton, beras, minyak masak dan gas.

"Rakyat rasa teruja kerana mereka ada rasa memiliki pada media sosial," kata bekas pensyarah kewartawanan Wong Chin Huat kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Kamu tidak rasa teruja dengan iklan. Video lebih menawan emosi berbanding iklan.. Ia tersebar kerana membangkitkan apa yang terpendam di hati kamu," tambah penganalisis tersebut merujuk kepada video mengenai Syed Mokhtar.

Video itu yang telah dilihat sebanyak lebih 20,000 kali sejak mula dimuatnaik pada Ahad bermula dengan persoalan "Untuk siapa kamu bekerja hari ini?", sebelum membangkitkan tentang Syed Mokhtar yang mempunyai banyak kepentingan dari gula sehingga tenaga.

Video selama dua setengah minit oleh badan bukan kerajaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu berakhir dengan definasi kronisme dan perkataan "Sudah sampai masa untuk menamatkan penguasaan kroni. Undi untuk perubahan."

Klip video sama ada mempromosikan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) telah memenuhi laman YouTube menjelang pilihan raya yang dikatakan paling sengit dalam sejarah Malaysia.

Wong mengatakan klip yang dikongsikan di laman sosial seperti Facebook dilihat lebih berkredibiliti berbanding pengiklanan kerana kebiasaanya, ia dikongsikan oleh rakan-rakan.

“Kelebihan media sosial adalah ianya mempunyai kredibiliti. Wang boleh membeli iklan di Google akan tetapi tidak boleh membeli kepercayaan,” katanya.

BN telah mengeluarkan dana untuk pengiklanan atas talian di laman sesawang dan portal popular di Malaysia, memasuki wilayah yang selama ini dikuasai PR oleh kerana gabungan pemerintah yang mengawal ketat media arus perdana.

Wong juga mengatakan BN meletakkan iklan ditempat yang tidak sesuai untuk iklan kempen “Negara Lebih Baik” yang diletakkan di bawah artikel bertajuk “Mana lebih penting bagi BN, Ibrahim Ali atau 1Malaysia?” di The Malaysian Insider semalam.

Datuk Ibrahim Ali, presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) – kumpulan sayap kanan Melayu yang sebelum ini pernah mengugut untuk membakar bible berbahasa Melayu.

Penganalisis media, Dr Mustafa Kamal Anuar mengatakan orang muda lebih berminat dengan klip yang pendek dan padat berbanding dengan analisis dalam perkataan yang panjang lebar.

“Saya boleh bayangkan yang ianya mudah untuk menarik perhatian generasi muda,” kata Mustafa Kamal kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengatakan tindakan DAP melancarkan stesen televisyen atas talian Ubah.TV baru-baru ini adalah untuk memanfaatkan penggunaan internet dan media sosial yang tinggi di Malaysia.

YouTube Malaysia adalah diantara laman yang paling banyak menerima pelawat dengan lebih kurang dua juta pelawat unik setiap hari.

Terdapat 13 juta pengguna Facebook, 46 peratus daripada 29 juta populasi Malaysia, menurut laman pemantau media sosial Socialbakers.  Sejumlah 62 peratus penduduk Malaysia yang mempunyai capaian kepada internet pada Januari tahun lalu. Sejumlah 64 peratus daripada pengguna Facebook di Malaysia berumur diantara 18 hingga 34 tahun.

Penganalisis komunikasi politik Mohd Baharudin Othman mengatakan media sosial adalah sumber maklumat alternatif bagi PR.

“Ini tidak bermakna mereka menyokong Pakatan, tetapi mereka mahukan maklumat diluar sumber maklumat kerajaan. Pakatan adalah benda baru,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pensyarah komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu walau bagaimanapun mengatakan klip video popular yang kebiasaannya sepanjang beberapa minit boleh memberikan informasi kepada penonton, akan tetapi bukan meyakinkan mereka.

“Kamu gunakannya untuk memberi maklumat. Jika mahu meyakinkan, kamu perlu beri maklumat lanjut. YouTube hanya sepanjang beberapa saat atau minit. Orang akan bosan jika terlalu panjang,” kata Baharudin.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi