Bahasa

Komas minta SPR iktiraf sebagai pemerhati pilihan raya

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 08, 2012

PETALING JAYA, 8 Jun — Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) hari ini berkata, phaknya mengharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengiktiraf NGO tersebut sebagai badan pemerhati bebas pilihan raya di negara ini.

Koordinator Komas, Arul Prakash dalam sidang media di Ubu Pejabat Komas di sini berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada badan pengendali pilihan raya berkenaan, namun masih lagi belum menerima sebarang jawapan.

“Kami telah menghantar surat kepada SPR dua minggu lalu. Namun, masih lagi belum ada sebarang jawapan diterima,” katanya kepada pemberita.

Arul turut menambah, “dalam surat itu, kami turut menuntut untuk mengadakan perjumpaan dengan SPR bagi membincangkan keraguan yang berlaku dalam sistem daftar pemilih di negara ini.”

Dalam sidang media tersebut, Arul turut menggesa SPR agar menghentikan sementara waktu pendaftaran pengundi baru sehingga keraguan yang terdapat dalam sistem daftar pemilih dapat diselesaikan.

“Terdapat banyak keraguan dalam sistem ini. Mungkin lebih baik pendaftaran pengundi baru diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan “Jom Pantau”, kempen pemerhati Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Arul menegaskan, pihaknya setakat ini telah menerima 1,875 laporan keraguan dengan 194 daripadanya telah disahkan.

“Setakat ini Jom Pantau telah mengadakan dua bengkel melatih pemerhati untuk pilihan raya umum, dengan keanggotaan 171 ahli dari seluruh negara.

“Kami telah menerima 1,875 laporan dan 194 daripadanya telah disahkan dan telah dimuat naik ke laman web kami, katanya dan menambah,” 20 hingga 30 peratus laporan itu diterima daripada individu dengan selebihnya diterima daripada organisasi.”

Arul juga turut menggesa orang ramai untuk menyertai kempen anjuran mereka ini bagi memastikan pilihan raya di negara ini benar-benar bersih dan adil.

Segala maklumat berkenaan laporan keraguan dalam sistem pilihan raya ini boleh disemak di laman web Jom Pantau, www.pru13.info.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi