Bahasa

Konsep kesukarelawan masih belum difahami sepenuhnya di Malaysia, kata Shabery

September 06, 2012

SHAH ALAM, 6 Sept — Konsep kesukarelawan masih belum difahami sepenuhnya di Malaysia kerana masih ada yang mengharapkan ganjaran, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar).

Beliau berkata ini kerana ada sukarelawan yang bertanyakan 'di mana makanan untuk mereka' atau 'di mana elaun harian RM50 mereka' untuk melakukan kerja-kerja sukarela.

Dalam Program Bual Bicara bersama pelajar International Education College (INTEC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seksyen 18 di sini malam ini, beliau berkata sukarelawan yang bertugas semasa Sukan Olimpik London menyatakan mereka tidak menerima sesen pun daripada kerajaan untuk khidmat sukarelawan itu.

Di Australia, katanya lima juta daripada 28 juta penduduknya mendaftar di dalam program kesukarelawan di negara tersebut yang dikenali sebagai 'National Volunteer Week' (Minggu Sukarelawan Nasional).

“Antara kayu pengukur atau pencapaian yang perlu ditekankan kepada belia untuk Malaysia mencapai status negara maju ialah kerelaan dan kesanggupan mereka menyumbangkan tenaga dan masa dalam kerja-kerja kesukarelawan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan melancarkan program berbentuk kesukarelawan seperti 1M4U bagi menyemai semangat kesukarelawan dalam kalangan anak muda atau lebih dikenali sebagai Generasi Y.

Dalam bual bicara itu, Ahmad Shabery turut menyentuh mengenai isu pelajar tajaan kerajaan atau agensi, yang enggan pulang bekerja di tanah air kerana gaji lebih besar ditawarkan atau ingin mencari lebih pengalaman dalam kerjaya mereka.

Beliau berkata walaupun masalah itu wujud, ia tidak serius memandangkan kemelesetan ekonomi di Eropah termasuk negara seperti Ireland yang mana ramai

pelajar Malaysia mempelajari bidang perubatan di sana.

“Di Eropah berlaku kemelesetan ekonomi yang teruk, yang jadi mangsa pekerja bukan rakyat mereka,” katanya.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini ramai pelajar Malaysia pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian mereka kerana keadaan ekonomi negara yang masih baik.

INTEC merupakan kolej persediaan bagi pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas, Majlis Amanah Rakyat dan Bank Negara Malaysia sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke universiti terpilih di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Jerman, Rusia, Timur Tengah dan Korea Selatan. — Bernama 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi