Korea Selatan cadang wujud FTA dengan Malaysia
SEOUL, 13 Jun — Korea Selatan mencadangkan supaya Malaysia mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) khusus dengan negara berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata cadangan itu diusulkan oleh Perdana Menteri Korea Selatan Kim Hwang-sik sebagai langkah meningkat dan memperkukuhkan hubungan dagangan dua hala.
“Walaupun sekarang ini Korea Selatan mempunyai banyak hubungan dalam bidang dagangan pelaburan menerusi FTA Asean, tetapi mereka berpendapat FTA antara Malaysia dan Korea adalah lebih baik.
“Ia juga membolehkan Korea Selatan menokok tambah apa-apa saja kemudahan, baik dari segi cukai pasaran, akses kepada pasaran kerana Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk republik itu,” kata beliau.
Muhyiddin (gambar) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Korea Selatan dan pertemuan bersama 18 ketua industri negara itu sempena lawatan kerja selama dua hari ke Korea Selatan.
Menurut beliau, secara dasar beliau telahpun bersetuju dengan cadangan itu dan ia akan diputuskan pada bulan depan.
Pada masa ini, Korea Selatan tidak mempunyai FTA yang spesifik dengan Malaysia kecuali FTA bersama kumpulan ASEAN yang merangkumi negara-negara anggota pertubuhan itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata Korea Selatan melihat Malaysia sebagai sebuah negara berpotensi untuk memperluaskan pasaran bukan sahaja secara dua hala tetapi untuk pasaran negara ketiga sama ada dalam ASEAN atau di sekitar rantau Asia Tenggara.
“Mereka (Korea Selatan) melihat Malaysia mempunyai potensi yang besar dengan keadaan ekonomi yang stabil dan dasar ekonomi terbuka.
“Malah mereka juga buat perbandingan dengan China di mana kos meningkat secara mendadak sedangkan di Malaysia pula kos agak stabil dan ia menjadi daya tarikan kepada pelabur dari negara tersebut,” kata beliau.
Muhyiddin berkata, hasil pertemuan dengan pemilik-pemilik syarikat terkemuka negara itu, sebanyak RM3 bilion pelaburan baru bakal dibawa masuk bagi tempoh beberapa tahun akan datang.
Selain itu, katanya Kumpulan Hana juga merancang untuk membuat pelaburan besar dalam sektor perkhidmatan perbankan dan insurans yang dijangka akan diputuskan tidak lama lagi.
“Dalam satu pertemuan saya dengan ketua industri Korea, hampir semua mereka telah melabur dan menyatakan untuk menambah pelaburan yang sedia ada di Malaysia.
“Contohnya syarikat Kiswire, iaitu syarikat pengeluar wayar tembaga terbesar yang akan membuat pelaburan baru bernilai RM1.8 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” kata beliau.
Muhyiddin, sebagai orang yang bertanggungjawab membawa masuk syarikat berkenaan semasa menjadi Menteri Besar Johor, turut diberi penghormatan merasmikan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) Kiswire di Johor Baharu pada bulan depan.
Beliau berkata pada pertemuan itu, tidak ada masalah yang dibangkitkan oleh usahawan negara itu kecuali tentang bekalan sumber tenaga elektrik termasuk di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Mereka (syarikat Korea) berminat untuk melabur di sana (SCORE) tetapi mereka minta supaya Kerajaan Pusat berunding dengan kerajaan negeri mengenai jaminan bekalan berterusan dengan harga kompetitif,” katanya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) supaya membantu syarikat-syarikat Korea yang mahu melabur di SCORE.
Beliau berkata terdapat juga syarikat yang memohon untuk mendapatkan rakan kongsi dan perkara ini akan diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi beberapa syarikat modal usahasama. — Bernama
Muhyiddin (gambar) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Korea Selatan dan pertemuan bersama 18 ketua industri negara itu sempena lawatan kerja selama dua hari ke Korea Selatan.



