7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Koroner: Sarbaini jatuh dengan tidak disengaja, bukan bunuh diri

TERKINI @ 05:07:29 PM 26-09-2011
September 26, 2011

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Mahkamah Koroner memutuskan bahawa bekas Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati di premis SPRM awal April lalu “jatuh dengan tidak disengajakan”.

Koroner juga menolak kemungkinan Sarbaini membunuh diri atau meninggal dunia disebabkan penyakit semula jadi.

Menurut Koroner Aizatul Akmal Maharani, Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga dengan tidak disengajakan.

Sehubungan itu, koroner memutuskan bahawa Sarbaini (gambar) meninggal dunia disebabkan “nahas” dan turut memutuskan teori pegawai Kastam Diraja Malaysia itu dibunuh jelas tidak dapat dipertahankan kerana ketiadaan sebarang luka tangkis dan tanda-tanda mempertahankan diri atau kesan pergelutan.

Malah menurut koroner, tiada elemen ‘foul play’ atau penglibatan pihak lain serta tiada elemen jenayah.

Katanya, “teori-teori berkenaan adalah andaian semata-mata dan tidak disokong oleh mana-mana kenyataan.”

Aizatul dalam penghakimannya juga berkata pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane di sini 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia.