Bahasa

Kota Damansara kekal kerusi PKR, calon PAS akan turut berkempen

KUALA LUMPUR, 27 April — Pertindihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara selesai apabila PAS hari ini mengumumkan untuk menarik balik calon mereka, dan akan menyerahkan kerusi itu berdasarkan kepada status quo dan akan ditandingi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang akan menggunakan simbol PKR, kata Datuk Mustafa Ali.

“Saya mengumumkan setelah perundingan dibuat, status quo kerusi DUN Kota Damansara kekal seperti sebelum hari penamaan calon iaitu diperuntukkan kepada PKR,” kata Setiausaha Agung PAS itu lagi.

Tambah Mustafa (gambar), PAS juga telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan penarikan diri calon PAS pada 23 April lalu dan mengarahkan jentera PAS menumpukan kerja dan sokongan untuk menangkan calon PKR.

Mustafa menjelaskan, semua tujuh pertindihan kerusi antara PAS dan PKR juga telah diselesaikan dengan tiga diserahkan kepada PAS manakala baki empat lagi akan ditandingi PKR.

“Tiga kerusi DUN di Terengganu: Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi diserahkan kepada PAS.

“Manakala tiga lagi kerusi iaitu DUN Panti, Johor, Sungai Acheh, Pulau Pinang, dan Parlimen Labuan akan diserahkan kepada PKR,” katanya, dan menambah keputusan berkenaan perkara itu dibuat semalam.

 

PSM sebelum ini meletakkan Presiden mereka Dr Nasir Hashim di Kota Damansara pada 2008 dan memenangi kerusi tersebut, malah beliau akan kekal bertanding di kawasan tersebut untuk Pilihan Raya 2013 pada 5 Mei depan.

Berlaku pertindihan apabila PAS dikatakan turut akan meletakkan Ridzuan Ismail sebagai calon mereka di kerusi sama.

Sementara calon PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj telah bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada 2008 dan turut beroleh kemenangan.

PSM telah bertanding dengan menggunakan logo PKR pada pilihan raya 2004 dan 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada 5 Mei manakala penamaan calon ditetapkan pada 20 April.

Seramai 13,268,002 layak mengundi dalam PRU13 kali ini.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN dipertandingkan pada pilihan raya kali ini yang dianggap sebagai paling sengit dalam sejarah negara.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.