Bahasa

KPM sasar 20 peratus soalan pemikiran aras tinggi bagi UPSR, PMR 2013

PUTRAJAYA, 10 Jan — Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mensasarkan 20 peratus daripada soalan-soalan dalam peperiksaan UPSR dan PMR bagi tahun 2013 adalah soalan pemikiran aras tinggi bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, dua daripada 25 inisiatif utama 2013, seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) berkaitan dengan kemahiran berfikir aras tinggi meliputi pelaksanaannya dalam kurikulum, pentaksiran dan latihan guru, yang mana jelasnya usaha untuk menerapkan kemahiran itu akan diberi penekanan.

“Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan keputusan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 yang kurang memberangsangkan.

“Kita harus menerima keputusan ini (TIMSS) dengan fikiran terbuka serta perlu memastikan inisiatif ke arah meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika berucap di Majlis Perutusan Tahun Baharu KPM di sini.

Berdasarkan kaji selidik TIMSS 2011, Malaysia berada di tangga ke-26 daripada 45 negara peserta bagi subjek Matematik, berbanding tangga ke-20 pada 2007.

Manakala bagi subjek Sains, Malaysia berada di tangga ke-32 berbanding kedudukan ke-21 pada 2007.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri itu juga berkata, kementeriannya akan melaksanakan HOTS kepada 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan 1, 2, dan 3.

“Dalam bidang pentaksiran misalnya, soalan peperiksaan dengan peratusan yang lebih besar ditumpukan kepada kemahiran berfikir aras tinggi,” kata Muhyiddin.

DAP semalam dalam satu kenyataan mempersoalkan Kementerian Pelajaran berhubung perbezaan jumlah “A” yang diterima pelajar tingkatan tiga yang mengambil peperiksaan PMR bulan lalu, dan kaji selidik matematik dan sains antarabangsa menunjukkan pelajar sekolah menengah hari ini ketinggalan.

Tony Pua dan Ong Kian Ming mendakwa kaji selidik antarabangsa mendedahkan sistem pengredan kementerian itu adalah satu “penipuan”, dan mendedahkan ada jurang besar dalam keputusan kaji selidik antarabangsa bagi dua subjek tersebut dan skor pelajar dalam peperiksaan peringkat kebangsaan.

“Bagi mencapai kadar kuantitatif Indeks Prestasi (KPI) seperti jumlah A atau peratusan kadar lulus, kementerian telah memudahkan sistem pendidikan termasuk memudahkan peperiksaan,” kata Pua dan Ong yang masing-masing adalah Ketua Pengarah dan Strategik DAP.

“Adakah sistem peperiksaan kita sangat lemah sehingga 28.8 peratus akan mendapat A dalam Matematik walaupun standard antarabangsa mereka ketinggalan?” soal mereka dalam kenyataan itu.

Hampir suku daripada 30,474 pelajar yang menduduki peperiksaan tahun lalu mendapat keputusan tertinggi dalam dua subjek daripada statistik kementerian, kata ahli politik itu.

Sebagai perbandingan, hanya dua peratus sekolah menengah mendapat skor “Sangat Baik”  manakala 10 peratus menerima keputusan “Tinggi” berdasarkan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011, berdasarkan laporan yang dikeluarkan pada Disember, kata duo DAP itu.

Kajian TIMSS menunjukkan pelajar 14 tahun menunjukkan prestasi yang teruk dalam ujian sains, dengan hanya 1 peratus dan 10 peratus pelajar menerima gred Sangat Baik dan Tinggi, kata Pua dan Ong.

Mereka turut menjelaskan 64 peratus dan 66 peratus pelajar sekolah menengah menerima “Rendah” dan “Sangat Rendah” dalam matematik dan sains, berdasarkan TIMS, menyokong dakwaan mereka pelajar semakin teruk.

“Sedangkan PMR menunjukkan hampir 90 peratus lulus untuk matematik dan sains, TIMSS menunjukkan adanya penipuan dalam peperiksaan kita,” kata mereka.

Mereka juga menuntut Menteri Pelajaran memberi penjelasan berhubung perkara itu.

TIMMS dijalankan setiap empat tahun oleh Pusat Kajian Antarabangsa Sekolah Pendidikan Lynch, Kolej Boston. 

Selain peperiksaan, TIMSS juga mengumpul maklumat kontekstual di persekitaran sekolah dan lokasi, bahasa ibunda, guru dan latar belakang keluarga pelajar, guru dan pengetua. 

Pada tahun 2011, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Jepun mendahului kedua-dua mata pelajaran Matematik dan ranking Sains dengan margin yang besar. 

Negara-negara yang merosot dalam Sains selain Malaysia termasuk Hungary, Macedonia, Norway, Sweden dan Thailand. 

Negara-negara yang sama juga merosot dalam mata pelajaran Matematik, dengan tambahan Jepun, Jordan, Romania dan Tunisia.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.