KPN akui jenayah korporat berlaku kerana sikap tamak
TERKINI @ 06:37:58 PM 13-09-2012
KUALA LUMPUR, 13 Sept — Ketua polis negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar mengakui jenayah korporat atau “kolar putih” yang berlaku dalam negara berpunca daripada sikap tamak sesetengah pihak yang mahu mengaut keuntungan.
Tanpa memberikan kes spesifik, Ismail (foto fail) juga menegaskan tindakan tegas dan langkah kesedaran perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia akan menjejaskan ekonomi negara secara amnya.
“Kes jenayah kolar putih ini berlaku kerana sesetengah pihak yang terdorong sikap tamak untuk mengaut keuntungan,” kata Ismail.
Ismail juga berkata Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dibawah unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) giat menyiasat kes-kes jenayah komersil ini tetapi turut menggesa orang awam untuk turut sama membanteras jenayah ini.
Dalam pembentangannya pada majlis makan tengahari yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Ismail mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan talian bebas tol seperti 999 dan lain-lain khusus untuk menerima aduan daripada orang ramai berkaitan jenayah korporat ini.
“Saya mencadangkan agar diperkenalkan satu talian bebas kepada orang ramai untuk membuat aduan sama seperti talian 999 bagi menangani jenayah korporat ini,” kata Ismail lagi.
Turut disentuh dalam pembentangannya, Ismail juga memberikan contoh kes melibatkan Pusat Fidlot Nasional ( NFC) yang mendapat perhatian umum sejak kebelakangan ini.
Menurut Ismail lagi, dokumen-dokumen seperti minit mesyuarat, butiran perakaunan dan lain-lain sangat kompleks serta rumit untuk disiasat malahan memerlukan kepakaran khas sebelum mendakwa individu terlibat ke muka pengadilan.
“Pada zaman sekarang, jenayah korporat lebih kompleks memandangkan perkembangan teknologi dan beberapa faktor lain. Kepakaran daripada bidang bank, akaun dan lain-lain antara aspek utama yang perlu dipertingkatkan dan mejadi keutamaan pihak PDRM.
“Kadar kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes jenayah korporat boleh saya katakan adalah “sederhana” tetapi kami mula mengumpulkan pegawai-pegawai yang mempunyai kepakaran khas seperti ekonomi, perakaunan dan yang berkaitan,” tambah Ismail.
Ismail juga meluahkan kebimbangan akan tren melibatkan golongan profesional dalam jenayah korporat yang semakin meningkat terutama dalam kes pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram dan menyifatkan ia sebagai cabaran utama kepada PDRM.
Kesan kepada tren ini, Ismail berkata ia memberi impak negatif kepada ekonomi kepada negara terutamanya kepada pelabur yang mula melahirkan rasa tidak yakin untuk datang membuat pelaburan di Malaysia.
“Sebelum tiba ke sini, saya telah menghadiri satu mesyuarat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, bersama-sama dengan para pelabur luar,” kata Ismail.
“Dalam mesyuarat tersebut para pelabur melahirkan rasa gelisah dan tidak yakin mereka untuk membuat pelaburan di Malaysia kerana melihatkan tren jenayah korporat di Malaysia ini.”
Antara kes korporat yang mendapat perhatian umum ialah kes bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember tahun lalu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Kes lain melibat bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, yang didakwa di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan kerana menipu Kabinet sehingga membenarkan pembelian tanah di PKFZ, dan kes yang sedang berjalan melibatkan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, yang didakwa di mahkamah sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat.
Tanpa memberikan kes spesifik, Ismail (foto fail) juga menegaskan tindakan tegas dan langkah kesedaran perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia akan menjejaskan ekonomi negara secara amnya.



