KUALA LUMPUR, 18 Julai — Krisis antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd menyaksikan kesan awal dengan 10 majalah edisi bulan Julai keluaran agensi kerajaan pusat itu tidak muncul di pasaran.
Difahamkan, ini kali pertama dalam tempoh lima dekad, DBP berhadapan dengan masalah untuk mengeluar dan memasarkan majalahnya tepat pada masa.
Tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati kesemua 10 majalah edisi Julai, yang sepatutnya diterbitkan dan diedarkan akhir bulan lalu, tidak menemui para pelanggan.
Beberapa sumber mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider sambil menyifatkan ia disebabkan masalah teknikal dalam soal penerbitan dan pemasaran majalah dan buku keluaran DBP.
DBP mengeluarkan majalah bulanan Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Kosmik, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa.
Tiada maklumat rasmi terbaru tentang kadar edaran majalah-majalah keluaran DBP, tetapi butiran Media Planning Guide menunjukkan pasarannya adalah antara 30,000 hingga 100,000 naskhah sebulan.
Dewan Masyarakat dan Dewan Pelajar merupakan majalah terawal dikeluarkan oleh DBP iaitu masing-masing sejak 1963 dan 1967.
“Ya, ia ada kaitan dengan masalah antara DBP dan Dawama,” kata seorang pegawai sambil mengakui ini kali pertama majalah-majalah DBP tidak dapat dikeluarkan tepat pada masanya.
“Ia membabitkan soal mengeluarkan produk kami tepat pada masa, imej DBP juga terjejas dengan masalah ini,” kata beliau lagi.
Tinjauan The Malaysian Insider di kedai buku di Menara Dewan Bahasa di sini juga mendapati hanya majalah Mei dan Jun berada di rak-rak majalah.
“Di luar pun tak dapatkan? Edisi bulan Jun pun lewat bulan lalu, jadi kami menjangkakan edisi Julai pun akan lewat... tetapi tidak pasti, memang ada masalah... tidak tahu bila akan selesai,” kata seorang kakitangan di kaunter jualan.
Malah, seorang kanan pegawai juga tidak dapat memberi jaminan bila masalah itu akan diselesaikan dan sama ada majalah-majalah DBP akan berada pasaran seperti biasa bulan depan.
“Tidak pasti bila, tetapi kami sedang berusaha ke arah penyelesaian,” kata seorang lagi pegawai yang enggan namanya disiarkan.
Pegawai itu berkata, “walaupun DBP boleh mencari pencetak baru untuk sementara waktu dan mengeluarkan kesemua majalah seperti biasa, tetapi DBP juga akan berhadapan dengan masalah mengedarkan majalah khususnya kepada pelanggan tetap yang telah menempah lebih awal.”
“Rekos, maklumat tentang pelanggan ada pada Dawama... jadi ini masalah berangkai, bukan mudah boleh diselesaikan,” katanya lagi.
Jurucakap unit langganan Dawama ketika dihubungi memberitahu buat sementara pihaknya telah menghentikan pengambilan langganan baru.
“Buat masa ini kami hentikan sementara penerimaan langganan baru... kami tidak dapat mengatakan sampai bila tetapi itu langkah buat masa sekarang,” katanya ketika ditanya mengenai soal langganan majalah.
The Malaysian Insider gagal memperoleh reaksi rasmi kedua-dua DBP dan Dawama berhubung perkembangan terbaru ini.
Bulan lalu, The Malaysian Insider ada membawa laporan bahawa kedua-dua pihak itu berhadapan dengan “perang dingin” dan ia dipercayai meruncing ketika minggu ketiga bulan Jun, di sebalik isu kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan agensi itu sejak beberapa tahun lepas.
Difahamkan pengurusan kedua-dua entiti itu kini memasuki satu persekitaran yang sangat parah dengan dikatakan tidak dapat bersemuka dalam menyelesaikan isu mereka, sekali gus meletakkan DBP dalam keadaan serba salah.
DBP merupakan agensi yang terletak di bawah pengawasan Kementerian Pelajaran.
Ekoran “perang dingin” itu, satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, pengurusan DBP pula berhadapan dengan dilema, kemungkinan tidak dapat menyediakan bekalan buku teks sesi persekolahan 2012-2013 menjelang Ogos ini.
Sumber itu juga berkata, hubungan tidak mesra itu wujud selepas DBP memutuskan untuk melantik pihak ketiga bagi mencetak buku-buku teks agar ia dapat dibekalkan kepada sekolah menjelang bulan depan.
Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002.Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.
DBP atau nama asalnya Balai Pustaka merupakan sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.






