Bahasa

KSSB kata CEO langgar peraturan, mungkin dipecat

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan menyatakan samada Wan Ab Halim Wan Ismail akan dipecat atau tidak. — Gambar failMenteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan menyatakan samada Wan Ab Halim Wan Ismail akan dipecat atau tidak. — Gambar failIJOK, 1 Feb — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat kerajaan negeri Selangor Kumpulan Semesta Sdn Bhd didapati bersalah melanggar peraturan selepas satu siasatan dalaman dilakukan ekoran aduan salahguna kuasa keatasnya, dedah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid walaubagaimanapun enggan menyatakan samada Wan Ab Halim Wan Ismail akan dipecat, sebaliknya berkata lembaga pengarah KSSB telah mengarahkan CEO mereka tampil membuat penjelasan sebelum siasatan bermula pada akhir hujung tahun lalu.

MB juga enggan menyatakan butiran tentang kesalahan yang dilakukan oleh Wan Ab Hlim tetapi menyatakan KSSB mempunyai bukti kukuh untuk mengambil tindakan sedemikian.

“Beliau telah diarahkan untuk menjelaskan dirinya. Tetapi dia juga boleh pilih untuk tidak berbuat demikian dan pergi ke Mahkamah Industri untuk mencari jalan penyelesaian keatas status perlantikkannya di KSSB,” kata Abdul Khalid kepada The Malaysian Insider hari ini.

Akhbar Sinar Harian hari ini menerbitkan laporan dimuka depan tanpa menamakan sumber mereka menyatakan kontrak Wan Ab Halim ditamatkan awal tahun ini.

Laporan juga menyebut pemecatan tersebut sebagai petanda terdapat krisis pengurusan dalam anak syarikat negeri tersebut yang mana sebelum ini terpalit dengan skandal rasuah pasir dan memberikan imej buruk kepada Pakatan Rakyat terutamanya menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

Laporan tersebut menyatakan pemecatan tersebut “memeranjatkan” memandangkan kontrak Wan Ab Halim baru saja disambung oleh MB Selangor itu sendiri.

Khalid turut menafikan timbulnya konflik dalaman KSSB akibat isu tersebut.

Beliau turut menekankan walaupun hubungannya dengan Wan Ab Halim rapat, ia tidak mmberikan sebarang kesan ataupun impak terhadap keputusan masa depan yang akan diambil oleh kerajaan negeri.

“Saya seorang yang profesional. Orang mungkin dekat dengan saya tapi salah tetap salah.. Saya juga rapat dengan rakyat,” tambah pemimpin daripada PKR itu lagi.

Awal hari ini, setiausaha politik MB Faekah Hussin memberitahu bahawa siasatan telah dijalankan selepas aduan dalaman dilakukan ke atas Wan Ab Halim.

Faekah juga berkata Abdul Khalid telah memberikan kuasa sepenuhnya kepada Lembaga Pengarah KSSB untuk menangani masalah CEO tersebut dengan cara yang terbaik.

“Khalid berkata keputusan bukan ditangannya, jadi dia kata Semesta patut ambil keputusan sendiri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.