Bahasa

Ku Nan: Calon BN diumum dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum penamaan calon

April 03, 2013

PUTRAJAYA, 3 April — Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diumumkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan senarai calon kepada ketua-ketua perhubungan negeri.

“Ketua-ketua perhubungan negeri akan menyerahkan watikah pelantikan kepada calon-calon. Kita harap ia dapat dilaksanakan dalam seminggu hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas acara “Kayuhan Patriotik 1Malaysia@ Putrajaya” di sini.

Tengku Adnan berkata senarai calon BN kini dalam saringan terakhir termasuk pemeriksaan kesihatan, institusi kewangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

“Sekiranya mereka sudah mendapat laporan kesihatan mereka enam bulan lepas, mereka boleh hantar kepada kami, sekiranya belum, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Tengku Adnan berkata BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kali ini dan hanya menanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Beliau berkata Najib akan mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno pada 9 pagi esok dan selepas itu mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN pada 11 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Kita akan melancarkan manifesto BN pada Sabtu ini di Stadium Tertutup Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.

Manifesto tersebut akan dilancarkan Najib selaku Pengerusi BN pada majlis “Perhimpunan 1Malaysia Rakyat Didahulukan” di stadium berkenaan, demikian mengikut sumber.

Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada majlis Perhimpunan 1Malaysia tersebut yang dijangka dihadiri para pemimpin komponen BN dan serta beribu-ribu tetamu.

Difahamkan manifesto BN mengandungi pencapaian kerajaan BN sejak lima tahun lepas dan apa yang mahu dilakukan untuk rakyat dan negara bagi tempoh lima tahun akan datang dengan mandat baharu daripada rakyat. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi