Bahasa

Kumpulan pejuang alam sekitar anjur demo, mogok lapar bantah Lynas

Protes yang dijangka disertai 10,000 kereta dan motorsikal itu akan diadakan pada 31 Disember ini adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan tersebut dalam kempen 100 hari mereka untuk menghalang Lynas daripada beroperasi. – Gambar failProtes yang dijangka disertai 10,000 kereta dan motorsikal itu akan diadakan pada 31 Disember ini adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan tersebut dalam kempen 100 hari mereka untuk menghalang Lynas daripada beroperasi. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 20 Dis — Kumpulan pejuang alam sekitar Himpunan Hijau akan menganjurkan demonstrasi menentang pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Corp Sdn Bhd, kali ini dengan memandu dari Kuala Lumpur ke lokasi kilang milik syarikat Australia itu di Gebeng, Kuantan.

Protes yang dijangka disertai 10,000 kereta dan motorsikal itu akan diadakan pada 31 Disember ini adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan tersebut dalam kempen 100 hari mereka untuk menghalang Lynas daripada beroperasi.

“Rakyat akan melakukan apa sahaja yang kami mampu dalam tempoh 100 hari untuk menjatuhkan Lynas dan menghalang rejim yang korup daripada kembali ke Putrajaya,” kata Pengerusi Himpunan Hijau Wong Teck dalam sidang medianya di sini.

Jelas Wong Teck, rakyat merasa marah dan terganggu dengan kewujudan Lynas yang diberikan kebenaran “beroperasi untuk memusnahkan” di dalam negara ini.

“Operasi pemusanahan mereka tidak hanya terhad kepada memproses nadir bumi, tetapi juga kepada memproses bahan buangan radioaktif.

“Rakyat juga sudah mula marah dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan daripada Lynas dan kementerian yang bertanggungjawab,” kata Wong Teck lagi.

Protes berkenaan akan bermula di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar Gombak dijangka pada jam 8.00 pagi, dan seterusnya tiba di Markas PAS Chegar Mendang, di Bentong.

Di sana, protes mereka akan diisi dengan pelbagai ucapan daripada pemimpin politik termasuk kumpulan pejuang alam sekitar.

“Kami juga akan mengadakan aktiviti menarik seperti menjual ‘Biskut Telinga Cap Adnan,” kata Wong Teck.

Mereka kemudiannya akan bergerak ke Gebeng dan akan berkampung di markas Himpunan Hijau di sana.

Sementara itu, sebuah kumpulan anak muda, yang menggelarkan diri mereka Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar akan menganjurkan mogok lapar selama 100 jam di Dataran Merdeka, bermula 27 Disember hingga 1 Januari.

“Kami ingin mewujudkan lebih banyak kesedaran, ada banyak projek yg membahayakan di negara ini ... oleh sebab itu kami bekerjasama dengan Himpunan Hijau.

“Kami mengharapkan kerajaan akan lebih telus dalam menangani projek seperti ini,” kata jurucakap kumpulan tersebut, Tan Woon Tian.

Jelas beliau, mogok lapar yang bermula 8.00 malam 27 Disember itu dijangka tamat pada 12 tengahari 1 Januari berikutnya, dengan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah berusia lingkungan 14 tahun.

“Kami juga meminta Kabinet untuk memberikan respons mereka dalam perkara ini,” katanya lagi.

Selain mogok lapar, mereka juga akan mewujudkan speaker corner yang akan menjemput wakil pertubuhan alam sekitar.

“Kami sudah maklumkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan St John Ambulan.

“Kami bagaimanapun tidak merasakan keperluan untuk memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya lagi.

Mereka yang ingin menyertai mogok lapar tersebut boleh melayari laman Facebook kumpulan itu di Hunger Protest 100: Say No to Public Hazard: Protes Lapar Tolak Ancaman Alam.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.