Bahasa

Pahlawan Negara Kanang diberikan penghormatan negara Ahad ini

January 03, 2013

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Pahlawan Negara Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, yang meninggal dunia awal pagi ini, akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan di Sarawak, Ahad ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kanang anak Langkau. — Gambar ehsan dari steadyaku-husseinhamid.blogspot.comKanang anak Langkau. — Gambar ehsan dari steadyaku-husseinhamid.blogspot.comBeliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkannya untuk melakukan persiapan bagi memberikan penghormatan kepada mendiang dengan kerajaan negeri yang akan turut menyelaras majlis penghormatan itu.

“Kami mengenang jasa-jasa Kanang Anak Langkau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga kepada negara.

“Saya kehilangan seorang teman yang merupakan pahlawan yang menerima dua anugerah terbesar negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Graduasi Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di sini, hari ini.

Beliau berkata mendiang menerima kedua-dua pingat itu pada 3 Jun 1981.

Katanya mendiang berkesempatan meriwayatkan perjuangannya melalui beberapa wawancara dan pengkisahan perjuangannya, namun filem yang bertajuk “Kanang Anak Langkau” itu belum sempat disiapkan.

 “Saya terkilan kerana filem tersebut belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan pengarah berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang telah ada itu untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.

Ahmad Zahid berkata jawatan terakhir mendiang semasa berkhidmat dengan ATM adalah Pegawai Waran 1.

“Mendiang semasa khidmatnya, telah menempuh beberapa pertempuran terutamanya di Perak. Oleh sebab itu pengkisahan beliau dilakukan sebagai mengenang jasa beliau untuk dijadikan contoh kepada pegawai-pegawai dan anggota tentera yang ada sekarang,” katanya.

Kanang, 68, meninggal dunia di sebuah hospital umum di Kuching, Sarawak, akibat serangan jantung pukul 1.45 pagi ini.

Kanang adalah anak jati Sarawak yang menjadi kebanggaan negara kerana keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia dari 1962 hingga 1963. – Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi