Bahasa

Lagi keganasan apabila ‘penyokong’ Umno serang bas PKR, Anwar

Oleh Syed Jaymal Zahiid
March 08, 2013
Latest Update: March 08, 2013 11:16 pm

PETALING JAYA, 8 Mac — Penyokong Umno sekali lagi dikaitkan dengan serangan terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat (PR), kali ini dalam satu program ceramah di Bukit Katil, Melaka malam tadi apabila pergaduhan berlaku dan bas yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling dengan batu.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) memberitahu pemberita di sini, insiden malam tadi adalah yang keenam, kedua di Melaka semenjak Pakatan Rakyat (PR) melancarkan kempen “Jelajah Merdeka Rakyat” tahun lalu.

Anggota Perlimen Marang itu memberitahu, Anwar adalah antara yang terkena kaca apabila penyokong Umno membaling batu semasa bas meninggalkan ceramah. Beberapa penyokong PR termasuk dua orang polis turut tercedera dalam insiden tersebut.

Video kejadian itu berjaya dirakamkan dan telah dimuatnaik di laman sosial YouTube. Lidah rasmi PAS, Harakahdaily turut menyiarkan video berkenaan pagi ini.

“Keadilan melihat insiden ini dengan serius dan mendesak agar polis mengambil tindakan tegas terhadap tindakan ganas pihak yang menjadi semakin berani dan agresif,” kata Saifuddin.

Insiden berlaku dikala terdapat kebimbangan dalam satu program ceramah di Pulau Pinang selepas penyokong Umno mengugut untuk menyerang majlis tersebut jika Naib Presiden PKR Chua Tian Chang hadir.

Chua telah menyebabkan kemarahan daripada kedua-dua BN dan PR kerana kenyataannya menuduh ketegangan di Lahad Datu telah menyebabkan kehilangan nyawa lapan orang anggota polis adalah konspirasi Umno manakala beberapa blog pro-Umno menuduh naib presiden PKR itu mengatakan pasukan keselamatan yang gugur sebagai “mati katak”, merujuk kepada kematian sia-sia.

Pemimpin PKR itu mendakwa beliau menerima ancaman bunuh selepas itu. Beliau menafikan pertuduhan itu dan mengugut untuk menyaman pihak-pihak terbabit.

Saifuddin menyalahkan tindakan “lembut” polis dalam insiden lepas menyebabkan lebih banyak keganasan berlaku oleh penyokong Umno termasuk tindakan senyap dari Pejabar Peguam Negara.

“Walaupun terdapat insiden yang berulang, tiada tindakan undang-undang yang diambil terhadap samseng,” katanya.

Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang senyap mengenai perkara ini mungkin menyebabkan ianya dilihat sebagai “menyokong” tindakan ganas oleh ahli partinya, kata pemimpin PKR itu.

Saifuddin mengingatkan Najib, beliau dan pemimpin Barisan Nasional (BN) lain telah berikrar untuk mengikuti ikrar integriti pilihan raya Transparency International-Malaysia diantaranya, untuk bersaing secara adil dalam pilihan raya akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga sepupu kepada Najib, sebelum ini pernah berkata kerajaan tidak seharusnya bertanggungjawab kepada tindakan penyokong Umno.

Saifuddin menggesa polis, terutamanya polis Melaka, untuk bertindak lebih proaktif dalam menghadapi situasi dan memastikan keselamatan pemimpin dan penyokong PR semasa kempen oleh kerana Pilihan Raya 2013 semakin hampir.

“Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye sepatutnya mengikut rakan-rakannya dari negeri lain yang lebih berani mengambil tindakan kepada pelaku dari Umno dan Barisan Nasional dan tidak tunduk kepada tekanan dan pengaruh Umno-Barisan Nasional.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi