Bahasa

Lagu negeri khas untuk bukan Islam, jika haramkan ‘Allah’, kata Asri

Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

January 09, 2013

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan lagu kebanyakkan negeri-negeri yang menggunakan kalimah “Allah” terpaksa ditukar dengan keputusan mengharamkan penggunaan kalimah Arab tersebut bagi orang-orang bukan Islam.

Bekas Mufti Perlis (gambar) itu dilihat sebagai memberi respon kepada perintah Di Raja yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor mengharamkan penganut agama selain Islam untuk menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada tuhan mereka.

“Bnyk lagu negeri2 ada klimah Allah trmasuk S'ngor. Jk mrk haram sama sekali pnggil Tuhan ALLAH, mk versi khas dperlukn,” tulis beliau di akaun Twitternya, @realDrMAZA.

“Ertinya pengharaman total tidak mungkin. Kalau sekadar untuk Bible Bahasa Melayu, itu soal pentadbiran sahaja.”

“Kerajaan boleh larang (penggunaan kalimah Allah) atas pentadbiran, bukan kerana Islam mengharamkan bukan Muslim sebab tiada arahan khusus dalam Islam tentang hal ini. Bible di negara Arab semua sebut Allah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi.

Malaysia yang didominasi Islam mempunyai 13 buah negeri dan tiga wilayah persekutuan. Kebanyakan lagu negeri mengandungi perkataan “Allah” di dalam liriknya.

Lagu kebangsaan, “Negaraku”, tidak mengandungi perkataan Arab “Allah” tetapi menggunakan perkataan Melayu, “Tuhan”.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) telah menarik pengikut yang ramai oleh kerana pandangan vokal beliau mengenai hal agama.

November lepas, beliau diheret ke dalam kontroversi kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengenai Islam dengan beberapa tokoh agama mencadangkan kenyataan naib presiden PKR itu dalam sebuah forum awam bermakna beliau menyokong orang Islam melakukan “Murtad”.

Mohd Asri mempertahankan tokoh pembangkang muda yang bersinar bintangnya itu secara terbuka, mengatakan tiada paksaan dalam amalan Islam.

Isu-isu kaum dan agama tidak dapat dipisahkan di Malaysia, di mana orang Melayu — yang membentuk 60 peratus daripada 28 juta penduduk — ditakrifkan perlembagaan sebagai orang Islam.

Undang-undang tertinggi negara menyatakan Islam adalah agama persekutuan tetapi membenarkan juga agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.

Pemimpin gereja Kristian dan badan mewakili kuil Sikh di seluruh negara telah menyatakan kebimbangan mengenai kesan perintah Di Raja Sultan Selangor mengharamkan pengikut agama selain agama Islam daripada menggunakan perkataan "Allah" merujuk kepada tuhan mereka.

Sultan negeri juga mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua kumpulan, termasuk bukan Islam, yang terus mempersoalkan fatwa negeri dan undang-undang 1988 negeri menyekat penggunaan perkataan Arab itu.

Walau bagaimanapun, pada bulan Disember 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan perkataan "Allah" tidak terhad kepada orang Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan tersebut dalam edisi Melayu akhbar mingguan, Herald.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi